
Laporan/foto: Zaidi Jamin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Para jururawat di negeri ini diminta untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang agar mereka berkemampuan mengadaptasi ilmu pengetahuan semasa, seiring dengan bidang perawatan dan profesion kejururawatan.

Dr. William antara yang turut serta pada upacara lafaz Ikrar Perkhidmatan awam bersama-sama seluruh anggota HQE.
Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. William Gotulis berkata, jururawat yang dinamik bukan sekadar berdisiplin dan komitmen menjalankan tugas, sebaliknya sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran diri dan pengetahuan tentang perkembangan semasa serta hubung kaitnya dengan dasar dan polisi peringkat hospital.
“Usaha membina keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan organisasi khususnya profesion kejururawatan bukanlah perkara yang mudah kerana ia berkait rapat dengan mutu dan kriteria perkhidmatan serta pengalaman pelanggan mahupun pesakit.

Jururawat Sh. Mohamad Iswan Idris mengetuai upacara lafaz Ikrar Perkhidmatan awam mewakili seluruh anggota HQE.
“Para jururawat bukan sahaja perlu mengamalkan kemahiran ‘soft skills’ meliputi layanan berkualiti, bertimbang rasa, mesra, cekap mahupun cepat bertindak, malah perlu berpengetahuan luas, berkarisma dan peka kepada perubahan yang akhirnya mampu menyampaikan maklumat rawatan dan perubatan dengan sahih, tepat dan benar kepada pelanggan,” ujarnya.
William berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Sambutan Hari Jururawat dan Perhimpunan bulanan Peringkat HQE 2019 bertempat Auditorium Menara Berkembar, pada Khamis.
Tambahnya, profesion kejururawatan ialah profesion yang mulia, penuh dengan semangat kesabaran, dedikasi dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan pesakit.
“Justeru, saya amat berharap setiap jururawat akan sentiasa menyalurkan perkhidmatan yang berkualiti dan komprehensif serta memberi rawatan perubatan yang cekap, selamat dan mengikut protokol perubatan semasa.
“Dalam kita mengejar ilmu teknologi maklumat dan menggunakan komputer sebagai alat canggih yang membantu tugas seharian, pesakit juga perlukan sentuhan tangan jururawat dan bukan sentuhan mesin elektronik semata-mata.
“Oleh itu, imbangkan kelebihan pancaindera khususnya kegunaan tangan dan sentuhan kita, seiring dengan kecekapan kita menggunakan alat-alat elektronik yang canggih,” jelas William.

Dr. William (tengah) menyampaikan cendera kenangan dan penghargaan kepada Matron Domica (kanan) mewakili seluruh jururawat HQE .
Majlis Pelancaran Sambutan Hari Jururawat bertemakan ‘Nursing : The balance of mind, body and spirit’ Peringkat HQE turut diserikan dengan persembahan koir dan persembahan multimedia serta upacara lafaz ikrar di kalangan jururawat dan pegawai-pegawai kanan Hospital.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Klinikal I dan II, Dr. Yogendra A/L Panchalingam dan Dr. Irene Chau; Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan, Jasnawati Jasmin serta Ketua Unit Kejururawatan Hospital Matron Domica Kunsiong.