
Laporan/foto:Eviannie Kin/ Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Kebolehan para peserta Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) dalam sesi soal jawab menjadi antara penilaian penting bagi menentukan johan pertandingan tahun ini.
Pengerusi Penganjurnya, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, selain aspek kecantikan, penilaian dalam sesi soal jawab turut diberi penekanan dalam pemilihan pemenang tahun ini.
“Hal ini ditekankan kerana bakal pemenang UNK akan menjadi duta atau jurucakap dalam sektor pelancongan dan kebudayaan di negeri ini.
“Kami berharap semua peserta berpengetahuan luas dalam hal-hal budaya tradisi dan kebudayaan di daerah yang diwakili serta mengetahui juga perkembangan isu-isu semasa yang berlaku.
“Para peserta juga akan ditanya mengenai kajian yang dilakukan mengenai etnik setempat di kawasan mereka untuk menilai sejauhmana kefahaman tentang kebudayaan etnik masing-masing sebagai usaha untuk memelihara dan memulihara kebudayaan tradisi etnik di daerah masing-masing,” katanya pada Sidang Media sempena Pertandingan UNK Peringkat Sabah 2019, pada Isnin.
Tambah beliau, bermula 27 Mei sehingga 1 Jun, para peserta akan terlibat dalam beberapa projek dan aktiviti yang dirancang berdasarkan pendidikan dalam kebudayaan, projek komuniti, duta pelancongan, khidmat masyarakat dan kajian impak.
“Projek atau aktiviti tersebut dapat menggalakkan para peserta UNK menyumbang sesuatu dan memberi impak kepada komuniti di daerah dan kawasan masing-masing.
“Secara tidak langsung ia menjadikan pertandingan ini sebagai medium yang mengetengahkan fungsi wanita dari pelbagai aspek yang berkaitan dengan pembangunan modal insan dan komuniti,” jelasnya.
Seramai 64 peserta UNK mewakili kawasan masing-masing dari seluruh Sabah bakal bertanding pada 31 Mei nanti di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.