Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

KBS Sedia RM100juta Bangun Infrastruktur Luar Bandar

By 28 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

BEAUFORT, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan peruntukan RM100 juta untuk pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata semua pihak boleh memohon dana tersebut bagi mendemokrasikan permohonan berkenaan.

“Kita mahu mendemokrasikan permohonan dana tersebut di mana permohonan bukan sahaja datang daripada kepimpinan tertinggi tetapi Ketua Kampung dan Ketua Persatuan.

“Setiap permohonan perlu tunjukkan, pertama, itu memang kawasan luar bandar; kedua, kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan infrastruktur sukan yang mencukupi dan ketiga ada daya tarikan yang begitu kuat dalam kalangan anak muda untuk memastikan ada pembangunan infra tersebut.

“Dalam tempoh terdekat KBS akan keluarkan piawaian permohonan supaya semua pihak boleh membuat permohonan kerana kita hendak mendemokrasikan cara permohonan supaya semua boleh dapat pembangunan infra sukan yang mencukupi khususnya di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Syed Saddiq (lima dari kanan) bersolat jemaah bersama penduduk kampung.

Syed Saddiq (lima dari kanan) bersolat jemaah bersama penduduk kampung.

Beliau berkata demikian pada Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Sabah 1440H/2019M di Masjid Kampung Limbawang pada Sabtu.

Tambahnya, keutamaan permohonan peruntukan tersebut akan diberikan kepada Sabah kerana terdapat banyak kawasan-kawasan strategik di luar bandar boleh dibangunkan di negeri ini.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 50 keluarga asnaf dan anak yatim.

Syed Saddiq turut meluangkan masa menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di antara Pasukan Pilihannya dan Pasukan Pilihan Parlimen Beaufort dan melepaskan konvoi kayuhan 18 kilometer dari Kampung Pintas Kubu ke Membakut.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KBS, Dr Waitchalla R. R. V. Suppiah; Ahli Parlimen Beaufort P. 177, Datuk Azizah Mohd Dun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih dan ADUN Lumadan, Matbali Musah.

EM

Tinggalkan komen anda