Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kedah Umum Bantuan Khas Aidilfitri RM1000

By 16 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Rose Rasidi/Bashsyar Abdullah (Kota Setar)

ALOR SETAR, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Wajah penjawat awam negeri ini terpancar ceria di dalam Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1000.

Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan bantuan khas sempena Aidilfitri tahun ini kepada 4,711 penjawat awam negeri, termasuk 316 pegawai lantikan kontrak dan sementara.

Menurut Mukhriz, bantuan ini adalah hasil
daripada peningkatan pendapatan negeri dan langkah penjimatan urus tadbir yang cemerlang di negeri tersebut.

“Kelulusan bantuan khas ini dicapai dalam mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam, dan akan dibayar pada 30 Mei ini bagi membolehkan penjawat awam membuat persiapan bagi menyambut perayaan Aidilfitri pada Jun nanti.

“Banyak penjimatan telah dilakukan dalam urus tadbir kerajaan negeri hasil perbelanjaan yang berhemah,” ujarnya dalam Majlis Perhimpunan Pagi dan Program Ihya’ Ramadan bersama kakitangan awam, di sini hari ini.

Penjawat awam negeri yang ditemui, Azlina Yanti, 43, berkata berita gembira ini sangat dinanti-nantikan oleh beliau dan semua kakitangan awam.

“Saya bersyukur dengan bantuan RM1000 yang akan diberikan oleh kerajaan negeri, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung dalam perbelanjaan menjelang Aidilfitri untuk keluarga saya,” ujarnya penuh ceria.

Program pada hari ini juga diserikan dengan pengisian santapan kerohanian iaitu ceramah agama oleh Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Haji Awang.

-SH

Tinggalkan komen anda