Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kemahiran Bakeri, Bantu OKU Jana Pendapatan

By 22 Mei 2019Tiada komen5 minit bacaan
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Shahvian Mohd. Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) bukan penghalang bagi lapan pelatih Pusat Pendidikan Orang-Orang Pekak Sabah untuk memajukan diri dalam bidang bakeri.

Nathanael Boidon Bernard, 22, yang dilahirkan dengan masalah pendengaran menyatakan, kekurangan diri tidak langsung menjadi halangan buatnya untuk dilantik sebagai jurulatih pastri di pusat berkenaan.

Nathanael Boidon Bernard.

Nathanael Boidon Bernard.

Beliau melihat kekurangan yang dihadapinya sebagai sesuatu yang positif dan kekurangan itu menjadi kelebihan kerana ia membolehkan dia fokus pada sesuatu pekerjaan.

“Kekurangan diri menjadi kelebihan kepada saya kerana dapat lebih fokus kepada sesuatu pekerjaan dan saya memilih menceburkan diri secara serius dalam bidang ini tahun 2018 selepas mendapat pendidikan secara formal daripada ATI College di Persatuan Rumah Amal Sabah (Sabah Cheshire Home).

Nathanael turut membantu pelatih menyiapkan biskut raya.

Nathanael turut membantu pelatih menyiapkan biskut raya.

“Sebenarnya, minat menceburkan diri dalam bidang pastri tercetus selepas kerap melihat rancangan televisyen mengenai bakeri selain mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

“Selama setahun saya didedahkan dengan teknik menyediakan pastri dan Sijil Asas Pastri serta kemahiran yang dipelajari membantu saya mendapatkan pekerjaan di Pusat Pendidikan Orang-orang Buta Sabah ini.

Nathanael turut membantu pelatih menyiapkan biskut raya.

Nathanael turut membantu pelatih menyiapkan biskut raya.

“Bekerja di sini memang menyeronokkan, kerana dapat membantu rakan-rakan yang mempunyai masalah seperti saya untuk menambah kemahiran dan seterusnya dapat berdikari pada masa hadapan.

“Saya juga berhasrat untuk membuka kafe pada suatu hari nanti agar dapat memberi peluang pekerjaan dan membantu mereka yang kurang bernasib baik,” kongsi anak ketiga dari enam beradik tersebut sambil tersenyum.

Regina Wong.

Regina Wong.

Sementara itu, Pengetua pusat berkenaan, Regina Wong berkata, pihaknya bukan sahaja menawarkan biskut raya tetapi turut menyediakan pelbagai pastri bergantung kepada musim perayaan dan juga ada yang dibuat secara harian.

“Pada kali ini, kita menyediakan biskut Hazelnut Rosettes Cookies, biskut Makmur, Butter Strawberry Jam Cookies dan Batang Buruk Crackers.

Regina (kanan) menerangkan sesuatu kepada pelatih menggunakan bahasa isyarat.

Regina (kanan) menerangkan sesuatu kepada pelatih menggunakan bahasa isyarat.

“Harga yang ditawarkan bermula dari RM12 hingga RM20 bergantung kepada jenis biskut dan kuantitinya.

“Kami menyasarkan 400 balang biskut dapat dijual bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. Buat masa sekarang, promosi dilakukan secara kecil-kecilan dengan bantuan ibu bapa pelatih yang menjual kepada rakan-rakan mereka.

Nathanael (kiri) menggunakan bahasa isyarat untuk berkata sesuatu kepada Regina (kanan).

Nathanael (kiri) menggunakan bahasa isyarat untuk berkata sesuatu kepada Regina (kanan).

“Kami amat berharap orang ramai dapat membantu membeli hasil produk bakeri kami kerana ia dapat membantu menampung perbelanjaan pembelian bahan mentah serta sedikit sebanyak dapat menambah pendapatan pelatih-pelatih di pusat ini,” ujarnya.

Menurut Regina, objektif utama penubuhan bakeri tersebut juga adalah untuk membantu pelatih-pelatih yang sukar mendapat pekerjaan selepas tamat persekolahan.

Salah seorang pelatih menyusun doh untuk di bakar.

Salah seorang pelatih menyusun doh untuk dibakar.

“Ada di antara mereka ini bukan hanya mengalami masalah pekak dan bisu, tetapi ada juga yang mengalami masalah autisme dan sebagainya.

“Memandangkan agak sukar untuk mereka mendapat pekerjaan di luar dan atas permintaan daripada ibu bapa yang memohon supaya diwujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak mereka, kita berharap dengan sokongan ibu bapa mereka akan dapat berdikari dan menjana pendapatan sendiri pada satu hari nanti,” katanya.

Setiap pelatih mempunyai tugasan mereka tanpa pengawasan maksimum.

Setiap pelatih mempunyai tugasan mereka tanpa pengawasan maksimum.

Menurut Regina juga, pelatih-pelatih di pusat berkenaan telah dididik dan diberi penekanan mengenai kebersihan dan keselamatan semasa bekerja.

“Buat masa ini, terdapat lapan pelatih mengusahakan bakeri di pusat berkenaan yang berumur 20 hingga 35 tahun dengan dibantu oleh lima orang guru.

Setiap pelatih mempunyai tugasan tersendiri bagi mempercepatkan proses membakar biskut.

Setiap pelatih mempunyai tugasan tersendiri bagi mempercepatkan proses membakar biskut.

“Selain bakeri, pusat di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat berkenaan turut menyediakan pra sekolah kepada kanak-kanak seawal umur dua tahun hingga enam tahun yang mengalami masalah pendengaran,” kongsinya.

Tambah beliau, mereka juga ada menerima peruntukan dari kerajaan bagi membantu pentadbiran dan operasi pusat berkenaan selain melaksanakan program-program bagi membantu dan memajukan golongan OKU.

Aedna Polen (kiri) bersama anak bongsu dan rakannya semasa membantu membuat batang Buruk Crackers.

Aedna Polen (kiri) bersama anak bongsu dan rakannya semasa membantu membuat batang Buruk Crackers.

Mempunyai anak yang mengalami masalah pendengaran, Aedna Polen, 29, berkata ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tidak perlu merasa malu malah perlu tampil ke hadapan bagi mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak yang berkenaan.

Suri rumah dari Kampung Nosoob Baru, Penampang itu berkongsi kesedihan dan kerisauan yang dialami apabila doktor memaklumkan anak sulungnya Christ Brayden Majelis, 8, mengalami masalah pendengaran.

Pra sekolah turut disediakan kepada kanak-kanak yang telah disahkan mempunyai masalah pendengaran sebagai usaha mengajar bahasa isyarat dengan lebih awal.

Pra sekolah turut disediakan kepada kanak-kanak yang telah disahkan mempunyai masalah pendengaran sebagai usaha mengajar bahasa isyarat dengan lebih awal.

“Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu. Saya dan suami terus berfikir, bagaimana dia mahu menguruskan diri? Bagaimana dia hendak bergaul dengan rakan-rakannya nanti?.

“Syukur kerana pada ketika itu kami masih menetap di Kuala Lumpur dan dapat menghantar Christ ke Pusat Majudiri ‘Y’ For The Deaf (PMY) di Bricksfield di mana tenaga pengajar mempunyai kemahiran untuk mendidik dan menjaganya.

Dua sukarelawan turut serta membantu pelatih di pusat berkenaan.

Dua sukarelawan turut serta membantu pelatih di pusat berkenaan.

“Tiga tahun lepas, kami berpindah ke Sabah untuk memudahkan dia belajar dan pada masa kini, Christ bersekolah di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Kota Kinabalu yang terletak di Tuaran,” kongsinya.

Dalam pada itu, Aedna juga sering menjadi sukarelawan di Pusat Pendidikan Orang-orang Buta Sabah.

Setiap pelatih mempunyai tugasan tersendiri bagi mempercepatkan proses membakar biskut.

Setiap pelatih mempunyai tugasan tersendiri bagi mempercepatkan proses membakar biskut.

“Tiada paksaan untuk saya datang ke sini, malah saya suka datang membantu kerana dengan bergaul dengan mereka saya dapat lebih memahami keadaan dan masalah mereka sekali gus membolehkan saya berkomunikasi dengan lebih baik bersama Christ.

“Sebelum ini, saya sering menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan anak saya sehingga kadang kala menyebabkan dia sering mengamuk kerana kami sekeluarga tidak memahami dirinya.

Setiap pelatih mempunyai tugasan tersendiri bagi mempercepatkan proses membakar biskut.

Setiap pelatih mempunyai tugasan tersendiri bagi mempercepatkan proses membakar biskut.

“Ada kalanya, saya terpaksa meminta dia untuk melukis apa yang dia inginkan. Oleh itu, saya dan suami membuat keputusan untuk mempelajari bahasa isyarat.

“Sekarang, komunikasi dengannya berjalan lancar dan kami dapat memahami antara satu sama lain dan kini seluruh keluarga juga turut mempelajari bahasa isyarat,” katanya tersenyum.

Para pelatih bergambar bersama Regina (dua dari kanan).

Para pelatih bergambar bersama Regina (dua dari kanan).

Dia juga berharap pihak kerajaan atau NGO akan memperbanyakkan lagi kelas atau sekolah pendidikan khas di lokasi-lokasi yang lebih strategik selain mewujudkan kelas pembelajaran OKU pendengaran Tingkatan empat dan lima di negeri ini.

Bagi orang ramai yang ingin membantu dan mendapatkan biskut Raya boleh mendapatkannya pada atau sebelum 30 Mei ini atau ingin membuat sebarang tempahan dengan menghubungi Regina di talian 088-230 894 atau 016-836 0577.

EM

Tinggalkan komen anda