
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM3,267,415.81 zakat pendapatan daripada 11 syarikat swasta dan kerajaan diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada Jumaat.
Zakat tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua MUIS, Datuk Dr Hasbullah Taha disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin semasa Majlis Berbuka Puasa anjuran MUIS dan Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan 2019/1440h.
Lembaga Tabung Haji Sabah merupakan pembayar terbesar zakat perniagaan bagi tahun 2018 iaitu RM1,706,981,57 yang diserahkan Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah, Datin Nurlaila Said.

Pengerusi Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad, Ruslan Muharam (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek RM21,291.65 sebagai pembayaran zakat perniagaan kepada Hasbullah (empat dari kanan) sambil disaksikan oleh Tun Juhar (tiga dari kanan).
Antara syarikat lain yang turut membuat pembayaraan adalah Kumpulan ETIQA Takaful Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Bank Pertanian Malaysia (ARGOBANK).
Turut membuat pembayaran adalah SMC Healthcare Sdn Bhd (KPJ Sabah Specialist Hospital), Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad, Koperasi Pembangunan Tanah Mitrajaya Berhad, Salleh Truck and Trailer Manufacturer Sdn Bhd dan Akademi Binaan Malaysia (Sabah) Sdn Bhd.
Wang zakat berkenaan akan diagihkan kepada lapan golongan asnaf iaitu Fakir; Miskin; Amil; Muallaf; Al-Gharimin (Orang Yang Berhutang); Al-Riqab (Hamba); Ibri Sabil dan Fi Sabilillah di negeri ini.
Pada majlis tersebut, Tun Juhar turut menyampaikan bantuan zakat kepada 20 keluarga dari golongan asnaf fakir miskin.
Hadir sama, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar dan isteri, Datin Faridah Mohammad; Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Mayor, Datuk Nordin Siman.