Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

#QuranHour 2019: Sultan Nazrin Berkenan Hadir

By 9 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 9 Mei (Malaysiaaktif) – World#QuranHour 2019 merupakan kempen membaca Al-Quran secara serentak selama satu jam bakal diadakan pada 30 Mei ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Pengarah Bahagian Hubungan Alumni UIAM, Profesor Madya Dr Azam Othman berkata Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir ke program berkenaan.

“Matlamat utama adalah membudayakan Al-Quran supaya masyarakat faham kandungannya dan mengamalkan dalam kehidupan seharian.

“Surah Al-Kahfi menjadi pilihan #QuranHour tahun ini kerana ia memberi persediaan dari aspek fizikal, emosi, intelek dan spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia masa kini,” katanya dalam sesi temubual di UIAM, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azam berkata melalui penganjuran #QuranHour yang masuk kali ke-empat dianjurkan, UIAM bercadang membina dua buah Rumah Ngaji di Batu 11 Gombak dan Rumah Alumni UIAM.

“Kita jadikan dua lokasi tersebut sebagai tempat mengaji dan tadabbur Al-Quran untuk masyarakat setempat di Gombak khususnya Orang Asli.

“Pendekatan UIAM adalah untuk memakmurkan masyarakat di sekeliling. Projek Rumah Ngaji ini merupakan inspirasi daripada program #QuranHour yang diadakan setiap tahun,” jelasnya.

Program World #QuranHour 2019 bertemakan ‘Solusi Cabaran Sejagat’ adalah anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan UIAM dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

Program kali ini turut mendapat kerjasama media-media cetak dan elektronik utama negara dalam usaha mempromosikan program berkenaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro AWANI, Utusan Malaysia, Kosmo!, Kumpulan Media Karangkraf, Astro, Kumpulan Media Prima dan TV AlHijrah.

-NAZ

Tinggalkan komen anda