Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Berbuka Puasa Seteguk Air, Demi Tugas

By 9 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: W Sahilawati W Baharuddin /Khairul Akmal Mohamad (Kota Bharu Kelantan)

TANAH MERAH, 9 Mei (MalaysiaAktif)– Ketika azan Maghrib berkumandang, masih ada yang tidak sempat menjamah makanan bersama keluarga kerana tugas yang tidak mengizinkan, malah ada segelintir hanya mampu berbuka puasa secara ala kadar.

Menurut pemandu ambulans, Nik Abd Razak Nik Omar, 53, daripada hospital Tanah Merah, berbuka puasa dalam ambulans bukanlah perkara asing sejak memulakan kerjayanya sebagai pemandu ambulans lebih 20 tahun lalu.

“Ia perkara biasa bagi pemandu ambulans. Malah ada ketikanya hanya sempat meneguk air sahaja. Keutamaan kami adalah segera membawa pesakit yang memerlukan rawatan ke hospital, dan tiada istilah iftar selesa,”jelasnya.

Nik Abd Razak Nik Omar yang bertugas membawa ambulans lebih 20 tahun.

Nik Abd Razak Nik Omar yang bertugas membawa ambulans lebih 20 tahun.

Bagi Pegawai Perubatan yang bertugas di bahagian Kecemasan dan Trauma, Nik Azfar Amira Nik Aziz, 32, berkata, pada hari pertama berpuasa pada detik menghampiri waktu iftar, mereka menerima pesakit kritikal akibat dipagut ular.

“Pesakit yang berumur dua tahun itu diberi rawatan segera dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelas Nik Azfar.

“Dalam melaksanakan tugas waktu itu, saya dan rakan-rakan terlewat hampir satu jam untuk berbuka puasa,” tambahnya lagi.

Sementara itu, ibu kepada bayi yang berusia empat bulan, Siti Nurul Ain Mohamed Asri, 27, berkata beliau membawa bayinya ke unit kecemasan kerana demam panas.

Siti Nurul Ain Mohamed Asri menerima agihan juadah berbuka puasa oleh Pegawai Penerangan di Hospital Tanah Merah hari ini.

Siti Nurul Ain Mohamed Asri menerima agihan juadah berbuka puasa oleh Pegawai Penerangan di Hospital Tanah Merah hari ini.

“Saya bergegas ke hospital petang ini apabila mendapati suhu badan anak naik mendadak. Dalam kekalutan saya tidak sempat membeli juadah untuk berbuka puasa,” kata Siti Nurul Ain semasa ditemubual MalaysiaAktif.

“Alhamdulillah, rezeki saya berbuka bersama petugas hospital hari ini apabila pihak Jabatan Penerangan Kelantan mengagihkan juadah untuk berbuka puasa kepada keluarga pesakit dan petugas Hospital Tanah Merah dalam program Iftar Ramadan hari ini,”jelasnya.

Program ini adalah initiatif Jabatan Penerangan bagi menghargai kelompok penjawat awam yang menjalankan tugas demi rakyat dan negara tanpa batas masa dan situasi.
-NAZ

Tinggalkan komen anda