
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/JK Induk Regatta Lepa (Kota Kinabalu)
SEMPORNA, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Aksi padu dan debaran Semporna 4×4 Open Challenge yang dibawakan oleh syarikat pengedar kenderaan, Raspand Motor Sdn Bhd, berjaya menggegar bumi Semporna.
Program tersebut merupakan inisiatif bagi memantapkan lagi acara tahunan, Pesta Regatta Lepa yang menyambut perayaan Jubli Perak pada tahun ini.
Pengarah Urusan Raspand Motor Sdn Bhd, Datin Saadiah Abdul Rashad berkata, program yang julung kali diadakan itu berperanan memacu inovasi serta menyemai minat golongan muda dalam sukan kenderaan lasak.
“Matlamat utama program ini ialah memupuk hobi yang lebih bermanfaat bagi mengelakkan golongan belia terlibat dengan kegiatan tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, masalah sosial, jenayah dan sebagainya.
“Di samping itu, kita memberi ruang golongan muda menunjukkan bakat serta kreativiti mereka dalam bidang ubah suai kenderaan,” ujar Saadiah selaku penaja utama program.
Katanya juga, acara yang berlangsung di Taman Muhibah, Jalan Bubul Semporna pada 24 hingga 25 April lalu, mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Memandangkan ia julung kali diadakan, Raspand Motor melantik organisasi profesional dan berpengalaman iaitu Kelab 4×4 Kalabakan sebagai urusetia.
Badan itu mengelolakan 80 peserta termasuk sokongan teknikal, 10 buah kenderaan membuat show off, manakala 20 kenderaan lagi berentap merebut gelaran juara dalam kategori Standard dan Amatur Terbuka.
“Selain peserta tuan rumah, cabaran sukan lasak ini juga disertai peserta-peserta dari daerah Tawau, Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu, Kota Marudu, bahkan negara jiran, Brunei Darussalam turut menghantar penyertaan.

Saadiah bersama Najib Tay (dua dari kiri) ketika berada di lokasi penganjuran Semporna Challenge 4×4.
“Cabaran pula memerlukan kemahiran pemanduan yang tinggi kerana para peserta perlu meredah laluan berlumpur sebelum melalui anak sungai sejauh lebih kurang 200 meter dengan kedalaman kira-kira tiga hingga lima kaki,” jelas Saadiah.
Bagi ketegori amatur terbuka, gelaran champion dirangkul Albin Morondiu dengan hadiah RM5,000, tiket penerbangan pergi balik MasWings Tawau-Tarakan (untuk dua orang), piala serta sijil.
Sementara itu tempat kedua, ketiga dan keempat disandang Wong Fook Sang, Muhammad Rashyid Nasir dan Ramli Paita, manakala gelaran juara bagi kategori standard diraih Liew Nyun Sang dengan hadiah RM1,000 serta tiket penerbangan MasWings Kota Kinabalu – Mulu (dua orang), piala dan sijil.
Untuk pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi Sim Lee San dan peserta wanita, Asma Yennu.
Tambah Saadiah, program cabaran pacuan empat roda merupakan kolaborasi antara Majlis Daerah Semporna dengan syarikat penaja, Raspand Motor Sdn Bhd dan Nurnielamsari Travel Sdn Bhd serta NJ Autoworld Sdn Bhd.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Majlis Daerah Semporna, Bianus Kontong merangkap Penaung Program; Pengerusi Program merangkap Pengerusi Sabah Tourism Board, Marunda KK Ampong; Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah, Zul Allanie; Pegawai Kesihatan Daerah Semporna, Dr. Shameer Khan serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak.
“Matlamat lain penganjuran ini adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat beramah mesra dengan para pemimpin, di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan peserta,” kata Saadiah.

KENANGAN…Saadiah (tengah, belakang) bergambar kenangan bersama jawatankuasa penganjur dan barisan pemenang.
Dalam pada itu, penganjur bersama, Pengarah Urusan Nurnielamsari Travel Sdn Bhd, Datuk Najib Tay Abdullah berpendapat sukan tersebut secara insklusif berupaya membina personaliti positif.
“Kita percaya sukan ini mampu membina personaliti yang positif dalam diri belia termasuk keyakinan diri, menguasai ilmu pemanduan serta kecekapan bertindak mengikut keadaan lumpur, pasir, bukit dan sebagainya.
“Selain itu, menerusi sukan ini juga kita dapat membentuk generasi yang mempunyai mentaliti kelas pertama dengan menghargai alam sekitar, menjaga serta memulihara ekosistem serta kekayaan biodiversiti yang ada di Malaysia, khususnya di Sabah,” jelas beliau.
Sesungguhnya, penganjuran program berkenaan bukan sekadar sukan biasa, tetapi membawa tanggungjawab yang lebih besar kepada masyarakat serta memberi impak baharu untuk nilai tambah Pesta Regatta Lepa.
Walaupun pertama kali diadakan, namun komitmen jawatankuasa penganjur serta sambutan yang ditunjukkan, amat meyakinkan Semporna 4×4 Open Challenge untuk melebarkan sayapnya ke penganjuran sukan bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.