Skip to main content
Berita TempatanHomeJohor

Masjid dan Surau Parlimen Ledang Terima Set al-Quran

By 13 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Kartina Saruni/Safwan Ahmad

TANGKAK, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 189 buah masjid dan surau di Parlimen Ledang menerima set al-Quran yang mengandungi mushaf besar pemegangnya dan Al-Quran bersama terjemahan sumbangan oleh Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh semalam.

Penyerahan tersebut ialah sebahagian daripada program Karnival Semarak Ramadan peringkat Parlimen Ledang yang diadakan di Masjid al-Idrus Sungai Mati Serom, Ledang.

Karnival yang dilancarkan oleh Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim itu penuh dengan pengisian program yang bermanfaat sejak awal pagi lagi dengan program Kanak-kanak Raikan Ramadan diikuti dengan Kuliah Duha untuk wanita.

Selain itu, program kemasyarakatan juga tidak pernah dilupakan, di mana masyarakat di sini bersama-sama melaksanakan rewang persediaan untuk berbuka serta bubur lambuk, manakala selesai berbuka puasa, karnival diteruskan dengan solat tarawih dan moreh.

Kemuncak karnival ialah Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Ketinggian Martabat al-Quran yang dibarisi oleh ahli panel terdiri daripada Ustaz Azam al-Kangkari dan Ustaz Mohd Shafie Bachok dari Pejabat Kadi Daerah Tangkak.

Penghulu Mukim Serom, Mahathir Ab Ghani (baju melayu biru) salah seorang penerima cenderamata daripada Syed Ibrahim selaku penyelaras bersama Program Karnival Semarak Ramadan Parlimen Ledang di DUN Serom.

Penghulu Mukim Serom, Mahathir Ab Ghani (baju melayu biru) salah seorang penerima cenderamata daripada Syed Ibrahim selaku penyelaras bersama Program Karnival Semarak Ramadan Parlimen Ledang di DUN Serom.

Karnival tersebut dimanfaatkan dengan menyaksikan penyerahan set al-Quran kepada semua Pengerusi 189 masjid dan surau di Parlimen Ledang.

Selari dengan Karnival, Jelajah Ziarah Ramadan turut diadakan. Ziarah ini bertujuan membantu mereka yang memerlukan serta memberi sinar kepada golongan ini untuk menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak.

Jelajah Ziarah Ramadan anjuran bersama dengan Majlis Belia Daerah Tangkak melibatkamn sebanyak 30 rumah dan keluarga diziarahi di seluruh daerah.

Di samping itu, beberapa kaunter dibuka untuk manfaat masyarakat, antaranya ialah free market, kaunter kesihatan, pameran belia dan Palestin serta yang paling menarik dan mendapat perhatian ialah kaunter Tabung Haji yang menawarkan khidmat membuka akaun, potongan gaji, kemaskini maklumat, link kad, tambah simpanan dan hibah.

Menurut Syed Ibrahim, tujuan karnival ialah untuk menggalakkan umat Islam menghayati dan menyemarakkan aktiviti di bulan Ramadan selain meningkatkan hubungan silaturrahim antara sesama umat Islam.

Syed Ibrahim bergambar bersama jawatankuasa penganjur dan sukarelawan belia di Masjid Sungai Mati, Serom, Tangkak.

Syed Ibrahim bergambar bersama jawatankuasa penganjur dan sukarelawan belia di Masjid Sungai Mati, Serom, Tangkak.

“Saya ingin memecah stigma bahawa Ramadan ialah bulan bermalas-malasan, sebaliknya Ramadan ialah bulan bermujahadah, bulan bekerjasama dan bulan meningkatkan amalan diri, keluarga serta masyarakat.

“Saya gembira melihat penyertaan seramai 70 orang kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Abdullah, Sg Mati untuk aktiviti kanak-kanak raikan Ramadan,” katanya.

“Saya juga teruja melihat kira-kira 50 orang muslimat berminat menghadiri kuliah dhuha yang disampaikan oleh Ustaz Zulraime Minhat dari Pejabat Kadi dan saya paling bersyukur melihat kira-kira 500 orang hadir majlis Iftar terdiri daripada belia, wanita, penghulu, wakil-wakil masjid dan surau, ketua-ketua kampung seluruh daerah dan masyarakat setempat,” tambahnya.

Beliau turut terharu melihat kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan Karnival dan berterima kasih kepada mereka.

Karnival adalah anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia kawasan Tangkak dengan kerjasama Masjid Al-Idrus Sg Mati, Pejabat Kadi Daerah Tangkak, Majlis Belia Daerah Tangkak, Majlis Daerah Tangkak, Tabung Haji Cawangan Muar, Ibupejabat Polis Diraja Malaysia Daerah Tangkak, Ikram Health, MyCare dan pelajar-pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Tangkak.

Dua lagi siri karnival diteruskan dan akan diadakan di Masjid Kg Sri Maamor, Tangkak pada 18 Mei dan Masjid Kg Simpang Lima Darat, Bkt Gambir pada 25 Mei nanti.

EM

Tinggalkan komen anda