Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Sepasang Baju Kurung Untuk Ibu

By 20 Mei 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 20 Mei (Malaysiaaktif) – “Kasihnya ibu, membawa ke syurga, kasihnya saudara, masa berada. Berkorban raga, rela binasa, berkorban nyawa, tanda kasihnya.”

Berikut merupakan bait-bait lirik lagu nyanyian Allahyarhamah Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini yang menggambarkan bahawa kasih ibu kepada anak tiada tolok tandingannya.

Mungkin itulah yang cuba digambarkan seorang pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS), Nurhaini Mohd Ali, 15, terhadap ibunya.

Nurhaini merupakan antara 43 pelajar SSMS yang terpilih menyertai Program Membeli Belah SSMS bersama Jakel Silk House Cawangan Sabah yang diadakan baru-baru ini.

Walaupun ayahnya masih mampu menyediakan pakaian baharu untuk meraikan Aidilfitri saban tahun, namun berpeluang memilih sendiri pakaian kegemaran pastinya tidak akan dilepaskan tambahan pula ia untuk ibu yang dikasihi.

“Tidak sukar memilih pakaian untuk ibu kerana kami punyai cita rasa dan saiz yang sama, saya hanya perlu menyarungkan baju itu pada badan sendiri untuk memastikan ukuran yang betul.

“Saya tidak kisah untuk menghadiahkan peluang ini untuk ibu, kerana baju kurung yang saya ada selama ini masih elok dan boleh digunakan,” kata atlet hoki ini.

Nurhaini tidak kisah memberikan bahagiannya kepada ibunya sendiri kerana merasakan ibunya lebih berhak untuk dihargai.

Nurhaini tidak kisah memberikan bahagiannya kepada ibunya sendiri kerana merasakan ibunya lebih berhak untuk dihargai.

Manakala bagi pelajar cilik SSMS, Mohammad Aiman Izac Malek Husin, 12, merasa begitu teruja apabila pertama kali melangkah masuk ke premis perniagaan yang memaparkan pelbagai deretan baju melayu, songkok dan kain samping yang digantung tersusun rapi.

Walaupun tidak memiliki adik beradik yang ramai namun pendapatan yang diperoleh bapanya tidak tetap dengan bekerja sebagai pemandu teksi di kampung halamannya di daerah Kudat.

“Ibu hanya suri rumah sepenuh masa, tidak memungkinkan saya untuk memiliki satu set baju melayu yang lengkap untuk dipakai pada hari raya sebelum ini,” ujar atlet renang ini yang memasang cita-cita untuk menjadi perenang negara sama seperti Welson Sim.

Sementara itu, Penyelaras Program Membeli Belah SSMS bersama Jakel Silk House, Noorartini Arjikal, berkata tujuan program ini diadakan bagi membantu para pelajar yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk sama-sama merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Noorartini yang juga Guru dan Ketua Bidang Pengajian Kemanusiaan menjelaskan bahawa program pada tahun ini mendapat suntikan sumbangan daripada Pembantu Menteri Perdagangan dan Peridustrian, Azhar Datuk Matussin, Majlis Sukan Negeri Sarawak, pihak swasta dan orang perseorangan.

“Program komitmen tanggung jawab sosial korporat (CSR) Jakel bersama-sama warga SSMS ini adalah berbentuk tajaan potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi setiap item kelengkapan hari raya di gedung itu manakala sebahagian kos lagi akan ditampung melalui suntikan sumbangan yang dinyatakan tadi.

“Walaupun kebanyakan pelajar adalah pelajar yang berasal dari pelbagai daerah di negeri ini, ada juga sebahagian pelajar yang berasal dari negeri-negeri Semenanjung dan Sarawak,” katanya.

Penerima sumbangan gembira dengan pilihan masing- masing.

Penerima sumbangan gembira dengan pilihan masing- masing.

Menurut Noorartini lagi, program ini amat mendapat sambutan dalam kalangan para atlet kerana mereka saban tahun merasa sangat teruja apabila nama mereka terpilih sebagai penerima sumbangan pakaian raya.

“Semoga pada tahun mendatang akan ramai lagi para penyumbang terutama pihak bank dan agensi korporat tampil menyumbang bukan hanya untuk program sebegini malah kepada keperluan lain untuk kemajuan bakal-bakal atlet di negara ini,” harapnya lagi.

Menjelaskan berkenaan penubuhan SSMS ini, Pengetuanya Madsarin Rahim, menjelaskan sekolah sukan ini ditubuhkan bagi memberi kemahiran bersesuaian dalam membentuk golongan pelapis kepada atlet-atlet negara pada masa akan datang.

“Setakat ini sebanyak lima buah sekolah sukan telah dibina oleh kerajaan yang mana SSMS merupakan sekolah yang keempat dibina dan digunakan pada 6 Januari 2013.

“Konsep sekolah sukan ini amat istimewa kerana ia merupakan sekolah berasrama penuh untuk para atlet bermula dari tahun lima hingga ke pelajar peringkat prauniversiti dengan kemudahan yang lengkap serta khidmat jurulatih yang berkelayakan tinggi,” jelas Madsarin.

Madsarin turut menjelaskan aspek pemilihan pelajar adalah berlandaskan kepada kebolehan atau bakat pelajar dalam bidang sukan, dan dalam pada masa yang sama tidak mengetepikan bidang akademik.

“Sebelum ini kebanyakan bakat yang dikenal pasti ada yang mempunyai bakat yang amat baik dari segi sukan namun mengabaikan aspek akademik dan ini amat tidak bersesuaian dengan matlamat sukan negara untuk memastikan para atlet mempunyai bakat yang seiring dengan kebolehan akademik,” tambahnya.

Harapan beliau ingin melihat setiap atlet yang menuntut di SSMS mampu mencapai pencapaian bertaraf dunia sesuai dengan slogan SSMS iaitu ‘School For Future Olympians’.

SH

Tinggalkan komen anda