
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUCHONG, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kini dalam kedudukan ke-56 dunia berbanding 125 sebelum mendapat pengiktirafan Heavy Urban Search and Rescue (USAR) tiga tahun lalu.
Pasukan SMART mempunyai 133 ahli terdiri daripada 11 pegawai dan 122 anggota dan kini berada pada kedudukan kedua selepas Singapura dan kelapan di Asia Pasifik dalam senarai pasukan penyelamat seluruh dunia.
Menurut Komander SMART Kol Mohd Tahar Abdul Razak, pengiktirafan ini penting kerana menjadi asas pertimbangan utama bagi sesebuah negara untuk menerima tawaran bantuan pasukan mencari dan menyelamat daripada negara luar.
“Setiap lima tahun sekali kita perlu memperbaharui pengiktirafan ini dan sekiranya kita gagal maka pengiktirafan ini boleh ditarik balik,” katanya yang ditemui sempena Taklimat Pengurusan Bencana kepada Media, di Markas SMART di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd. Rahman menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak media sebagai penghubung penyebaran maklumat penting sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana berlaku kepada rakyat.
“Bantuan ini amat penting terutamanya dalam membantu meningkatkan kesedaran rakyat mengenai bahaya bencana, memberi amaran awal kepada penduduk serta sebagai sumber maklumat kepada agensi-agensi kerajaan.
“Sekiranya ada pihak menolak peranan dan pengaruh media dalam menyumbang kepada pengurusan bencana negara, maka ianya adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada media.
Mohtar turut mengharapkan gambaran jelas pihak media terhadap cabaran yang dihadapi NADMA dalam memenuhi permintaan untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu isu dengan cepat, tepat dan telus.