
Laporan/foto : Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)
BALING, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Ziarah Ramadan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun ke rumah Azizan Abd Rahman di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Bandar umpama hadiah yang paling bermakna buat dirinya.
Azizan Abd Rahman, 42, berkata beliau amat terharu dengan kehadiran menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Datuk Dr. Ismail Salleh adalah sesuatu yang tidak beliau jangkakan.
“Saya amat berterima kasih dan sungguh terharu kerana menteri hadir menziarahi bapa mentua yang uzur dan menyampaikan sumbangan daripada pihak KEDA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata kehadiran beliau adalah untuk melihat sendiri bagaimana beliau dan agensi persekutuan dapat membantu masyarakat terutama sekali di luar bandar.
“Peranan kementerian selain daripada memberi kemudahan asas kita juga cuba membantu dari segi sosioekonomi kepada penduduk.
“Saya dapati banyak usahawan kecil wanita yang menghasilkan produk makanan berkualiti dan peranan kita adalah membantu memasarkan produk mereka,” katanya ketika berucap di Dewan Desa KEDA Bandar, di sini kelmarin.
Menurut Rina lagi pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) harus mewujudkan satu pusat kegiatan berkelompok untuk membantu usahawan kecil dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan.
“Saya mahu lebih ramai wanita khususnya kaum ibu melibatkan diri dalam bidang ini sekurang-kurangnya mereka dapat pendapatan hasil dengan usaha mereka,” tambahnya.
Penduduk Desa KEDA Bandar Che Rose Nordin, 73, berkata kehadiran menteri kesini memberi semangat baru kepada kami.
“Saya amat berterima kasih kepada menteri yang sudi hadir dan memberi motivasi kepada kami untuk meningkatkan pendapatan melalui bidang keusahawanan,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Baling Abdul Bari Abdullah, Pengurus Besar KEDA Muhd Kameh Abdullah dan Penyelaras Parlimen Baling Mohd Taufik Yaacob.
–SH