Skip to main content
Berita TempatanSelangor

Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Ubah Suai Surau Al Hidayah – MB

By 28 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan peruntukan untuk mengubah suai ruang bawah Surau Al-Hidayah, Kampung Nahkoda untuk keselesaan para jemaah sekitarnya.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pihaknya telah menerima permohonan surau berkenaan memandangkan kebanyakan jemaahnya di kalangan warga emas yang tidak mampu naik ke ruang solat di bahagian atas.

“Saya menerima permohonan surau ini untuk mengubah suai ruang bahagian bawah menjadi ruang solat memandangkan sebahagian jemaah adalah warga emas.

“Kita sedia pertimbangkan untuk kebaikan pada masa hadapan. Secara tidak langsung saya mengetahui dengan terperinci isu dan perkara yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Moreh dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak-Anak Yatim Kariah Kampung Nahkoda, di sini, semalam.

Amirudin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Amirudin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Hadir sama, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim; Pengerusi Surau Al Hidayah, Mohd Nor Amir dan Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Nakhoda, Ahmad Said.

Seramai lima anak yatim berusia empat hingga 14 tahun menerima sumbangan berjumlah RM500 berserta barangan keperluan harian dalam program tersebut.

Turut menerima sumbangan adalah 18 ibu tunggal, 11 peserta tadarus wanita, 13 peserta tadarus lelaki termasuk 16 pegawai serta jawatankuasa surau yang telah berkhidmat selama tiga tahun menerima barangan seperti beras, gula dan susu.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, sumbangan berkenaan bertujuan mengembirakan dan meringankan beban golongan memerlukan ketika membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sumbangan daripada masyarakat kepada surau ini, kita kembalikan semula kepada masyarakat. Walaupun jumlahnya tak banyak, ini adalah cara kita mengembalikan semula kepada masyarakat untuk menggembirakan mereka.

“Surau ini juga mendapat peruntukan RM10,000 yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada seluruh masjid dan surau di seluruh Selangor bagi melaksanakan akiviti moreh serta sumbangan sepanjang Ramadhan tahun ini,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda