
Laporan/foto: Ramasamy Amas/Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
JEMPOL, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Program Mantai Perdana Aidilfitri 2019 telah diadakan serentak di seluruh daerah di Negeri Sembilan pada hari ini. Orang ramai tidak perlu berkunjung ke Seremban bagi mendapatkan daging lembu segar seperti tahun-tahun sebelum ini dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM28.00 sekilo, kata Pegawai Daerah Jempol, Mas Midyawan Yahya ketika ditemui di Majlis Mantai Perdana Peringkat Daerah Jempol yang diadakan di tapak kekal Pasar Tani Bandar Baru Serting.
Mas Midyawan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Mantai Perdana Peringkat Daerah Jempol merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan kerana memberi peluang kepada masyarakat daerah Jempol membeli daging segar dengan harga lebih murah iaitu RM28.00 sekilo termasuk daging, tulang dan sebagainya berbanding dengan harga pasaran di luar melebihi sekitar RM30 ka atas.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Veterinar yang telah membekalkan bekalan daging yang mencukupi iaitu sebanyak 6 tan dan ia adalah satu jumlah yang sangat besar berbanding dengan tahun lalu hanya 3 tan sahaja.
Menurut beliau lagi, “Program ini bermula jam 7.00 pagi dan setakat jam 9.00 pagi, lebih kurang 1,500 kilo daging sudah dijual dan kehadiran orang ramai amat menggalakan dan kami jangka lebih kurang jam 2.00 petang ini, 6 tan daging akan habis dijual.”
Beliau juga menyeru kepada kerajaan negeri supaya program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang yang melibatkan sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidiladha dan sebagainya bagi memudahkan orang ramai mendapat bekalan daging segar dengan harga yang murah.
Pendapat sama turut disokong Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong merangkap ADUN Bahau dan Penyelaras DUN Jeram Padang, S. Musliadi Sabtu.
“Program ini amat baik dan memudahkan orang ramai untuk mendapatkan daging segar dengan harga yang berpatutan terutama kepada golongan B40 dan ini membuktikan kerajaan prihatin untuk membantu rakyat meraikan Aidilfitri.”
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Serting, Abdul Rahman Ramli memuji Jawatankuasa Program Mantai Perdana Peringkat Daerah Jempol kerana pengurusan sistem jualan yang sangat baik berbanding tahun lalu.
“Tahun yang lepas, orang ramai terpaksa beratur panjang hingga dan pelanggan terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan bekalan daging, tetapi tahun ini kita lihat pengurusan program adalah lebih tersusun dan pelanggan tidak perlu beratur panjang.”
Dalam pada itu, seorang pelanggan, Wahab Hamid, 67 berkata, “Saya membeli 3 kilo daging dengan harga RM84 sahaja jika dibandingkan di luar sana, saya terpaksa berbelanja lebih RM100.”

Teo Kok Seong (tiga dari kiri), Penyelaras DUN Jeram Padang, Penyelaras DUN Serting diiringi Pegawai Daerah melawat gerai jualan.
Manakala seorang suri rumah, Norhidayah Abdul Ghani, 32 dari Serting Ulu berkata beliau mengetahui program ini melalui kenalan dan ada yang memaklumkan terdapat hebahan unit bergerak yang dilakukan oleh Pejabat Penerangan Daerah Jempol semalam.
Selain daripada membeli daging lembu, para pengunjung juga dapat membeli daging ayam, sayur-sayuran kampong dan juga kelengkapan masakan lain untuk menyambut bulan Syawal.
-KN