
Laporan/foto :Asmidar Zainol/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Sabah.Net dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (PSM) Sabah dipertanggungjawab memastikan infrastruktur digital dan keperluan sumber manusia di negeri ini mencukupi.
Menteri Pelajaran dan Inovasi (KPI), Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pada masa kini, Sabah perlu memastikan infrastruktur dan juga merangka keperluan sumber manusia secara komprehensif.
“Ini kerana sejak dahulu belum ada penyusunan yang sedemikian dalam membantu kerajaan menyediakan hala tuju sebagai negeri perindustrian.
“Apabila ianya tersusun kita berharap semua kerangka digital dan sumber manusia serta hala tuju pendidikan sekolah dari tadika hingga Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dapat menjadi sebuah entiti yang dapat membantu membangunkan negeri Sabah.
“Saya yakin dengan mewujudkan kumpulan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara jabatan, kita mampu melaksanakannya,” ujarnya.
Yusof turut berharap pengurusan tertinggi Sabah.Net dan Jabatan pengurusan Sumber Manusia akan melihat perkara ini sebagai cabaran ke arah mengambil alih beberapa tugas besar.
“Antaranya adalah dengan mengambil alih program Bistari yang mana dahulu di bawah Yayasan YTL dan sekarang kita mahu ianya diserahkan kepada kerajaan negeri melalui Sabah.Net.
“Oleh yang demikian kita mahu setiap kakitangan kementerian perlu mempertingkatkan lagi kebolehan dan kemampuan untuk mengendali dan melaksanakan tanggungjawab besar dalam hala tuju negeri Sabah yang baharu ini.
“Saya melihat ada keperluan untuk menghantar kakitangan berkursus atau menyertai latihan industri dan kaedah bagaimana untuk mendapatkan pemindahan teknologi daripada agensi-agensi yang diperlukan,” jelasnya.
Yusof berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Mesra Sabah.Net di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
-EM