Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KTOnline Pacu Pertumbuhan Baharu KT

By 30 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad telah memperkenalkan Perkhidmatan Dalam Talian & Aplikasi Perbankan Mudah Alih (KTOnline) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-54, di sini hari ini.

Aplikasi mesra pelanggan ini dibangunkan dengan objektif utama untuk memudahkan urusan anggota yang berada jauh dari cawangan atau bandar di samping menyediakan pengalaman yang lebih baik kepada semua anggotanya.

Menurut Pengerusi Koperasi Tentera Mej Jen Datuk Zulkiflee Mazlan (Bersara), perkhidmatan ini telah lama dinantikan kerana memudahkan anggota untuk berurusan dan juga memberi peluang buat Koperasi Tentera (KT) dalam mengaplikasikan teknologi dalam penyediaan perkhidmatan kepada semua pelanggan.

“Tahun 2019 merupakan tahun yang sangat mencabar buat KT, namun dengan pembangunan platform KTOnline, pemasaran produk pembiayaan kepada Industri Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan dengan adanya Pusat Khidmat Pelanggan KT yang telah mula beroperasi pada tahun 2017, kami yakin KT akan kekal relevan dan terus menjana keuntungan buat anggotanya.

“Pelancaran platform ini seiring dengan pelan KT untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dalam penyediaan perkhidmatan dan produk buat anggota dan pelanggan, sekaligus menjadikan KT antara koperasi terawal memperkenalkan perkhidmatan sebegini di Malaysia,” katanya ketika mengumumkan prestasi tahunan KT pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-54 di Dewan Besar PERHEBAT, Kem Sg. Buloh.

Antara ciri utama platform ini adalah anggota boleh mencapai maklumat akaun pada waktu sebenar. Selain semakan akaun, anggota juga boleh memindahkan dana secara elektronik di antara akaun KT dan juga ke akaun perbankan anggota dengan mudah.

Pada majlis sama, KT telah mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus bersamaan RM145 juta kepada 154,620 anggotanya. Pada tahun ini, pembayaran dividen adalah sebanyak 78% daripada keuntungan bersih sebelum cukai.

Pada tahun lalu, KT telah merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM313.5 juta, peningkatan yang sedikit berbanding RM313.2 juta pada tahun 2017.

Sepanjang tempoh 10 tahun (2009 – 2018), KT telah menjana pendapatan bersih berjumlah RM2.44 billion dan keuntungan sebelum agihan berjumlah RM1.83 bilion.

Dalam pada itu, KT turut menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada Anggota Terlama, sumbangan Skim Insentif Kecemerlangan (SIK) kepada anak-anak anggota KT yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan PT3 serta Skim Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, Ketua Staf Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi serta Naib Pengerusi Eksekutif (Pengurusan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia Abbas Abu Bakar.

-SH

Tinggalkan komen anda