
Laporan/foto: Norliza Yusof/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Pertandingan Paluan Beduk meriahkan Majlis Malam Gema Aidilfitri Kawasan N 12 Karambunai.
Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Azhar Datuk Matussin berkata, pertandingan tersebut diadakan bagi mewujudkan kembali suasana kemeriahan menyambut hari raya dan mengimbau nostalgia kenangan beraya pada zaman dahulu.
“Penggunaan beduk yang digunakan semasa pertandingan ini sahaja sudah menunjukkan keistimewaannya kerana ia merupakan beduk yang sudah berusia hampir 200 tahun.
“Selain itu pemasang pelita dan pembakaran meriam buluh turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana majlis berkenaan.
“Pada masa akan datang kita bercadang untuk mengadakan pertandingan pelita di antara kampung-kampung di kawasan N 12 Karambunai ini.
“Tahniah kepada jawatan kuasa penganjur kerana berjaya merealisasikan program ini dan berharap ia akan diadakan pada setiap tahun agar dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita tanpa mengira bangsa dan agama,” ucapnya pada Majlis Malam Gema Aidilfitri Kawasan N 12 Karambunai di Halaman Pusat Komuniti Desa Kampung Darau, pada Sabtu.

Azhar (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Johan Pertandingan Pukulan Beduk, Kumpulan Otai Darau dari Kampung Darau.
Turut diadakan adalah pertandingan Sepak Manggis, Pertandingan Akhir Bintang N.12 Karambunai, persembahan tarian kebudayaan, cabutan tiket bertuah dan persembahan khas dari artis jemputan Fiq Mentor.
Hadir sama, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.
-EM