
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri (Barat Daya)
BALIK PULAU, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Barat Daya telah berlangsung di Dewan Al-Farabi Pondok Upeh baru-baru ini, Pertandingan ini merupakan program tahunan yang diadakan setiap tahun sebagai program teras Jabatan Penerangan Malaysia di bawah portfolio Program Kenegaraan kepada rakyat.
Konsep pertandingan pidato kali ini diadakan dengan konsep bersemuka dan berpidato secara‘Ted Talk‘ bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman terhadap dasar-dasar negara.
Seramai enam peserta telah berentap menunjukkan bakat masing-masing dalam memberi hujah-hujah yang jitu dan berkesan.
Majlis Perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang Haniezaida Hassan.
Dalam pertandingan ini juga Dua peserta telah dipilih untuk mewakili daerah Barat Daya ke pertandingan Pidato peringkat negeri yang akan berlangsung pada 20 Julai nanti di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Dua peserta yang terpilih adalah Ambran Sailudin, yang merupakan seorang arkitek reka bentuk dan Muhammad Azim Mohmad Nasir seorang pelajar tingkatan enam.
Menurut Siti Nadia Norazman, salah seorang peserta pertandingan itu, beliau amat meminati pidato dan debat kerana dapat mengekspresi pandangan secara lantang dan terbuka.
“Saya mula menceburi pidato ini ketika saya di sekolah rendah lagi dengan mewakili sekolah. Biarpun saya tidak bernasib baik hari ini (semalam) kerana tidak dapat mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri”,katanya.
Manakala bagi salah seorang pemenang pertandingan itu, Ambran Sailudin, 25, beliau akan menjadikan pidato ini sebagai wadah beliau menonjolkan bakat dalam pengucapan awam.
“Saya bersyukur kerana menang pada hari ini serta dapat mewakili daerah Barat Daya ke Peringkat Negeri nanti”, ujarnya.
“Saya akan membuat persiapan rapi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada daerah ini. Juri-juri turut memberi saya tips dan langkah bagi meningkatkan mutu persembahan pidato saya selepas saya diumumkan sebagai salah seorang pemenang”, tambahnya lagi.