Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Keadaan di Pasir Gudang Semakin Baik

By 28 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Musliha Yusof/Muhd Shariffudin Abd Razak/Shah Hood  

PASIR GUDANG, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Kawasan perindustrian melibatkan kilang-kilang gergasi berasaskan produk pelbagai bahan kimia secara tidak langsung memberi kesan kepada kebersihan udara, air dan kawasan sekitar sekaligus kesihatan penduduk setempat.

Sekitar Mac lalu, negara dikejutkan dengan insiden pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim dan berikutan itu, udara Pasir Gudang sekali lagi tercemar sehingga melibatkan beberapa pelajar sekolah sesak nafas dan muntah sejak khamis lepas.

Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik yang diwujudkan dalam menangani kejadian ini menyatakan bahawa kualiti udara di Pasir Gudang tercemar dengan sebatian kimia namun tidak begitu membahayakan.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik menyatakan kualiti di Pasir Gudang bertambah baik

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik menyatakan kualiti di Pasir Gudang bertambah baik

Mesyuarat pada hari ini yang dipengerusikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengulas tentang tahap sebatian kimia yang ada pada udara di sini menurun dan semakin baik namun tahap kualiti udara masih belum betul-betul bersih.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) bertanggungjawab untuk melaksanakan pemeriksaan terhadap kilang-kilang yang beroperasi di sini bagi memastikan kualiti udara adalah neutral.

Ir. Che Mohammad Nizam Che Kamaruddin, 38, berkata bahawa pemantauan sedang dilaksanakan oleh petugas khas DOSH terhadap kilang-kilang yang beroperasi di sini.

Ir Che Muhammad Nizam memberitahu DOSH sedang meneliti kualiti udara yang telah diperiksa

Ir Che Muhammad Nizam memaklumkan DOSH sedang meneliti kualiti udara yang diperiksa. 

“Pasukan pemeriksaan keselamatan dari DOSH membuat pemeriksaan di beberapa kilang di sini dan analisis sedang dibuat, biasanya memakan masa kurang dari seminggu,” ujarnya ketika mengulas tentang tahap keselamatan kilang-kilang yang berada di Pasir Gudang.

Manakala petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarjan Muhd Shahrihan Wahab, 39, memberitahu bahawa keadaan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) lengang kerana tiada mangsa baru dan hanya terdapat seorang pelajar sahaja yang masih dirawat di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

Petugas APM sentiasa bersedia di Stadium Tertutup MPPG

Petugas APM sentiasa bersedia di Stadium Tertutup MPPG

“Kami sentiasa bersedia andai ada mangsa yang dikejarkan ke sini dan saya harap kejadian hari pertama tidak berulang lagi kerana suasana sangat kelam kabut,” ujarnya ketika ditemui pagi tadi.

Sehingga hari ini, keadaan di Pasir Gudang adalah terkawal dan masih menunggu keputusan tahap kualiti udara, manakala beberapa sekolah yang diarahkan tutup akan dibuka semula mulai Ahad ini.

-EM

Tinggalkan komen anda