
Laporan/Foto: Norliza Yusof/Mohd Nasri Tapisil (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Raya dan Kerja Amal Hospital Tuaran mampu mengeratkan silaturahim dan perpaduan antara kaum dalam kalangan kakitangan hospital berkenaan.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) N.10 Sulaman, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor berkata, usaha pihak hospital untuk bersama-sama meraikan sambutan Aidilfitri tanpa gagal sejak 2010 wajar dipuji.
“Sambutan yang diraikan dengan penuh rasa persaudaraan ini menunjukkan keunikan yang ada di Sabah sama seperti setiap perayaan yang diraikan dengan penuh meriah tanpa mengira bangsa dan agama.
“Perpaduan dan persefahaman ini perlulah dikekalkan dan dipelihara bagi menjamin kesejahteraan serta keharmonian rakyat kerana ini juga merupakan salah satu faktor yang membawa kepada kemajuan negeri Sabah.

Hajiji (tengah) dan G. Mohan (empat dari kanan) semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya dan Kerja Amal Hospital Tuaran.
“Tahniah dan syabas kepada Pengarah Hospital Tuaran, Dr. G. Mohan Gopal Naidoo serta semua kakitangan hospital atas penganjuran sambutan dan diharapkan penganjuran majlis ini juga dapat meningkatkan kerjasama serta kualiti kerja semua warga hospital,” ujarnya semasa merasmikan majlis tersebut pada Khamis.
Pada majlis, 13 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Tuaran menerima duit raya dan bantuan kewangan sebanyak RM1,432 turut diserahkan kepada rumah tersebut hasil sumbangan daripada kakitangan hospital berkenaan.
Pelbagai acara turut diadakan bagi memeriahkan sambutan antaranya persembahan busking, cabutan bertuah dan juga pertandingan peragaan kanak-kanak.
Turut hadir Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Pengurusan), Dr. Muharrir Kamaruddin.
-EM