Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Wanita Kelantan Obses Emas

By 17 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Wee Kim Been ( Kota Bharu)

KOTA BHARU, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Bagi penggemar emas, pembelian barang kemas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya pelaburan jangka panjang kerana jika terdesak barang kemas tersebut boleh dijual balik terutamanya ketika harga emas meningkat naik.

Di Kelantan, emas diperdagangkan dalam timbangan tradisi iaitu ‘rial berat’ dan bukannya gram. Menjelang Syawal baharu ini, ‘satu rial berat’ emas 916 di pasaran Kelantan ialah RM451.

Manakala harga pasaran standard bagi satu gram emas 916 ialah RM166. Ini bermakna nilai ‘satu rial berat’ emas 916 di Kelantan bersamaan timbangan 2.72 gram pasaran standard *(harga semasa laporan disediakan).*

Tinjauan Malaysiaaktif di sekitar Kota Bharu menjelang Syawal mendapati pengunjung di kalangan wanita mula membanjiri kedai-kedai emas untuk mendapatkan rekaan terkini atau stok baharu.

Berkongsi obses terhadap emas, Asmah Zahari, 51, berkata kilauan emas akan menambahkan lagi kecantikan perempuan walaupun ribuan ringgit terpaksa dihabiskan.

“Rata-rata pembeli kebanyakannya tidak gemar menyimpan wang, sebaliknya mereka lebih gemar habiskan membeli barang kemas dengan alasan emas merupakan satu pelaburan terbaik dan menguntungkan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Bagi pemilik sebuah kedai emas, Daud Yusoff, 78, berkata simpanan emas merupakan aset yang paling mudah dicairkan.

Daud Yusuff, 78 dan anaknya Danira, 71 sedang melayani pelanggan menjelang Syawal baharu ini

Daud Yusuff, 78 dan anaknya Danira, 71 sedang melayani pelanggan menjelang Syawal baharu ini

“Bila-bila masa sahaja jika kita memerlukan duit, kita boleh jual dan dapat duit pada waktu itu juga. Emas kalis inflasi dan nilai emas sentiasa kukuh,” jelasnya kepada Malaysiaaktif ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Daud berkata beliau memulakan perniagaan emas ini pada awal tahun 1970-an melalui kaedah jualan ansuran bulanan kepada pelanggan dan mendapat suntikan modal daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebanyak RM200,000 bagi memastikan perniagaan ini terus berkembang pesat.

“Pada tahun 1970-an satu tahil emas hanya bernilai RM170, tetapi harga terkini satu tahil sudah mencecah RM6,650.

“Emas 916 dan emas 999 paling mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di Kelantan selain daripada suasa dan perak,”jelasnya yang kini mempunyai enam orang pekerja dan legasi perniagaan diteruskan oleh anak perempuannya, Danira Daud.

Sementara itu, penjual emas secara ansuran yang beropersi di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai Noriah Ismail, 53, berkata mereka yang amat meminati emas akan sanggup menahan nafsu membeli barangan lain asalkan dapat memiliki emas.

“Sejak 10 tahun saya berniaga emas ini pelbagai karenah saya lihat, ada yang sanggup berjimat cermat semata-mata untuk memiliki barangan kemas yang menjadi ‘kegilaan’ wanita,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda