Skip to main content
Berita TimurTerengganu

ECRL Memacu Pertumbuhan Pantai Timur

By 26 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahadi Mustafa/ Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion telah dilancarkan semula semalam di Tapak Terowong, Rimba Bandar Bukit Bauk, Bukit Besi, Dungun, Terengganu oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Tuan Loke Siew Fook. Perasmiannya turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Loke Siew Fook dalam ucapannya berkata hasil utama rundingan semula tersebut adalah pengurangan kos projek ECRL daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion atau pengurangan sebanyak RM21.5 bilion. Pengurangan kos ini telah berjaya dicapai melalui siri semakan semula aspek kejuruteraan dan kajian kejuruteraan nilai ataupun “Value Engineering” yang menyeluruh serta merangkumi semua aspek pelaksanaan projek.

ECRL yang merangkumi jajaran sepanjang 640km adalah sebuah projek infrastruktur nasional yang akan menghubungkan kawasan bandar dengan luar bandar selain dari dapat meningkatkan sistem pengangkutan awam di luar bandar terutamanya di Pantai Timur Semenanjung. Pembinaan ECRL bertujuan untuk memberi kemudahan pengangkutan awam kepada rakyat Malaysia dengan mempercepatkan masa perjalanan dari Kota Bharu ke Putrajaya dalam masa 4 jam dengan kelajuan 160 km/j. Jajaran baharu ECRL akan melalui sebanyak 20 buah stesen, di mana 14 stesen terdiri daripada stesen penumpang, 5 stesen gabungan penumpang dan kargo, serta satu stesen untuk tujuan kargo sahaja.

Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia merasmikan Majlis Pelancaran Semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tapak Terowong Dungun.

Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia merasmikan Majlis Pelancaran Semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tapak Terowong Dungun.

Terengganu akan mempunyai 6 buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi 4 stesen penumpang dan 2 stesen gabungan penumpang dan kargo. Kajian semula ECRL juga telah menyarankan perubahan melibatkan Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Dungun serta dari Mentakab ke Pelabuhan Klang. Di Terengganu juga, tiga buah terowong akan dibina iaitu Terowong Dungun yang terletak di Bukit Bauk merangkumi sepanjang 871 meter, Terowong Paka sepanjang 1,104 meter dan Terowong Kuantan merangkumi panjang 2,286 meter yang turut melalui kawasan Jabor. Kerja pembinaan Terowong Dungun ini pula telah bermula sejak 25 April 2018, namun telah dihentikan selepas projek ECRL digantung pada 3 Julai 2018.

Pihak Malaysian Investment Development Authority atau MIDA sedang giat mengenalpasti peluang pelaburan baru di sepanjang koridor ECRL melalui projek-projek Economic Accelerator atau EAPs yang berkonsepkan usahasama antara Malaysia dan China. ECRL juga akan dapat dirasai dalam sektor pelancongan yang mana pengusaha-pengusaha homestay, perhotelan dan aktiviti-aktiviti pelancongan domestik akan meningkat susulan kunjungan ke destinasi-destinasi seperti Cherating, Dungun, Kuala Terengganu, Tok Bali dan Kota Bharu.

Dari penambahbaikan yang dilakukan terhadap projek ECRL, jajaran keseluruhan ECRL yang merangkumi sepanjang 640 km akan mengalami perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2% iaitu perubahan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun yang dikenali sebagai Seksyen A dan jajaran baru keseluruhan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang yang dikenali sebagai Seksyen C. Jajaran ECRL dari Dungun ke Mentakab yang dikenali sebagai Seksyen B dan merangkumi sepanjang 223 km adalah merupakan 34.8% dari keseluruhan jajaran ECRL yang tidak terlibat dengan sebarang perubahan.

Terowong Dungun yang dipilih sebagai lokasi majlis adalah untuk memberi laluan kepada Negeri Terengganu sebagai salah satu negeri jajaran ECRL. Projek ECRL yang kini telah ditambah baik adalah infrastruktur yang bakal menyatu kehidupan dan memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial katanya.

-II-

Tinggalkan komen anda