Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Tentang Penjajahan Bentuk Baharu Dengan Pendekatan Sesuai

By 26 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Generasi baharu di negara ini perlu menentang penjajahan bentuk baharu dengan pendekatan yang selari dengan peredaran zaman.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, berkata pendekatan yang sesuai diperlukan bagi mengisi kemerdekaan negara serta menentang penjajahan bentuk baharu iaitu penjajahan minda serta pemikiran rakyat.

“Antaranya ialah dengan menanam sikap jati diri kerana ia akan menjadi benteng pertahanan kepada sebarang unsur-unsur negatif yang boleh menggugat nilai moral sesebuah masyarakat yang bertamadun seperti Malaysia.

“Selain itu budaya pembelajaran sepanjang hayat, cintakan ilmu dan budaya membaca yang melibatkan proses mental yang tinggi hendaklah disemai dalam minda generasi muda sebagai pewaris kebanggaan bangsa dan agama.

“Lebih penting bekalan terbaik buat generasi muda dalam mendepani dan mengisi ruang-ruang kemerdekaan negara adalah dengan kepercayaan serta kepatuhan kepada yang Maha Pencipta agar segala percaturan kita dipandu kemas, tidak terpesong serta tidak kosong jiwanya,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Bintang Patriotik Peringkat Labuan 2019, di sini baru-baru ini.

Rozman (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan, baru-baru ini.

Rozman (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan, baru-baru ini.

Rozman turut menyeru golongan muda agar tidak melupakan pengorbanan tokoh terdahulu yang berjuang mendapatkan kemerdekaan negara.

“Hakikatnya, bukan sedikit kesengsaraan yang dilalui generasi pramerdeka terutamanya ketika penjajahan komunis dan Jepun.

“Generasi hari ini hanya mampu membaca dalam buku sejarah dan kita percaya tidak ramai yang mampu merasai dan menjiwai perasaan serta kesukaran yang telah dilalui oleh generasi pramerdeka ini.

“Namun itu bukan alasan untuk menafikan atau melupakan sumbangan para tokoh, perajurit dan pahlawan negara,” katanya lagi.

Menjelang sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Rozman menyeru warga Labuan untuk menghayati dan menunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Saya menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja sebagai tanda sokongan dan cintakan negara pada Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Jadikan sambutan kemerdekaan sebagai agenda besar generasi muda dengan menyuntik nilai-nilai patriotisme, kesetiaan yang sejati kepada negara, melaksanakan segala amanah yang diberikan dengan sepenuhnya dan membina sahsiah diri yang terpuji,” tambahnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan Rithuan Ismail, Pengarah Penerangan Labuan Supian Musa dan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.

-SH

Tinggalkan komen anda