
Laporan/foto: Khairudin A. Manaf / Mohd. Khairulnizam Mohd. Yunus (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 15 Julai (Malaysiaaktif) – Hanif Osman dari Seremban yang membawa tajuk pidato “Institusi Raja Lambang Kedaulatan Negara” dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato manakala Kumpulan Bokor Mengkuang dari Tampin pula johan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Sembilan 2019 yang telah berlangsung di Dewan Sri Putra, Politeknik Nilai, Khamis lalu.
Hanif yang diumumkan sebagai johan pidato membawa pulang hadiah wang tunai RM1500, plak dan sijil. Manakala tempat ke dua dan ke tiga Pidato Kenegaraan dimenangi oleh pelajar Politeknik Nilai iaitu Muhammad Faiz Irfan Ahmad Sayuti dan Farid Wajdi Mohd Wafi yang masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai, plak dan sijil.
Johan Pengisahan Kenegaraan iaitu Fathin Afryna Zulkiflee dan Noorsyahida yang menamakan kumpulan mereka Bokor Mengkuang membawa tajuk “Pelita Yang Tak Pernah Padam” membawa pulang hadiah wang tunai RM3000, plak dan sijil.
Kumpulan Bokor Mengkuang mengalahkan tiga lagi kumpulan Pengisahan Kenegaraan iaitu dari Daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson. “Pelita Yang Tak Pernah Padam” mengisahkan seorang tokoh bahasa yang berasal dari Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir Negeri Sembilan iaitu Pendita Zaába atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad.
Tempat kedua Pengisahan Kenegaraan dimenangi olih Kumpulan Pusara Bangsa dari Daerah Seremban yang diketuai oleh Muhammad Ashraf Mohd. Khairudin dengan tajuk “Menelusuri Kegemilangan Melaka” membawa pulang hadiah wang tunai RM2000, plak dan sijil. Tempat ketiga Pengisahan Kenegaraan dimenangi oleh Kumpulan Pawa Merbau iaitu Siti Syaidatul Amanina Kamaruddin dan Nurul Shafinas Syafie dengan tajuk pengisahan “Dari Mandat Dr. M” membawa pulang wang tunai, plak dan sijil.
Johan Pidato dan Pengisahan Kenegaraan ini akan mewakili Negeri Sembilan ke Pertandingan Pidato dan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan di Peringkat Kebangsaan.
Hadiah serta sijil pemenang dan peserta Pertandingan Pidato dan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Sembilan 2019 telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malik.
“Penyampaian pidato yang baik dan berkesan secara bersahaja dalam bentuk nasihat, peringatan, penegasan, sindiran dan selingan jenaka yang bertujuan mempengaruhi audiens ataupun penonton yang disasarkan akan memberi kesan dan impak yang positif,” ujar beliau dalam ucapan perasmian penutup Pertandingan Pidato dan Pengisahan Kenegaraan 2019.
Pelajar Kejuruteraan Makanikal dari Politeknik Nilai, Hakimi Halmie yang ditemui berkata, “Pertandingan pidato dan pengisahan kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sembilan ini dapat membuka minda dan mencungkil bakat pelajar serta pembelajaran yang tentunya berguna bagi kami di sini.”
Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Mejar (K) Tuan Haji Sabarudin Yeop Hamza dan Pengarah Politeknik Nilai, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Tuan Haji Nazri Idris.
-KN