
Laporan/foto: Sahiman Rahman/Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Pemilik-pemilik geran dinasihatkan untuk tidak menjual geran tanah mereka bagi mendapatkan keuntungan segera yang bersifat sementara.
Demikian menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam majlis Penyerahan Geran Subsidiari ( STRATA) di pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), di sini hari ini.
“Pemilik tanah yang telah mendapat geran tanah janganlah mengambil keuntungan yang cepat dengan cara menjualnya.
“Tanah harus diurus dengan baik supaya ia memberikan manfaat jangka panjang kepada pemilik dan juga dapat memberi pulangan kepada kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Shafie menyeru pemaju-pemaju hartanah agar memindah milik nama geran kepada para pembeli selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Masih terdapat geran-geran atas nama pemaju hartanah selaku pemilik tanah yang membangunkan hartanah tersebut.
“Oleh itu, kita minta agar geran ini dipindah milik kepada pembeli selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya lagi.
Sebanyak 3,547 geran-geran subsidiari (atau dikenali sebagai strata title) untuk unit-unit kediaman dan unit-unit komersil sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang disampaikan hari ini manakala 6,889 geran dari daerah seluruh Sabah lagi sudah sedia untuk diserahkan.
Turut berlangsung ialah Perasmian Bangunan Unit Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), Pelancaran Dashboard Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JTU Tahun 2018 di mana 86 kakitangan menerima anugerah tersebut.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick; Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mansor; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Datuk Safar Untong.
-SH