Skip to main content
Berita TempatanSabah

Karya Anak Jati Sabah Jadi Buruan Pengumpul Seni Seluruh Dunia

By 8 Julai 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Karyanya sudah tersebar ke merata negara, seni etnik Sabah menjulang namanya ke persada antarabangsa hingga menjadi buruan pengumpul serta peraih seni.

Pelukis yang berasal dari Kuala Penyu ini banyak menghasilkan karya tema bersiri, seperti Essence Of Culture (EOC), Marista, Iraga dan Payarama untuk mengangkat tema parokial serta kedaerahan terutama puak etnik Sabah.

Berkongsi kisah, Profesor Awang Damit, 66, berkata perjalanannya bermula bukanlah pada 1977 seperti yang tertulis pada biodatanya, kerana tanpa sengaja dia terjumpa karya hitam putih berbentuk potret penyajak terkenal Indonesia bernama Chairil Anwar yang bertarikh setahun lebih awal dan masih ada dalam simpanannya hingga kini.

Berada di Sabah untuk berkongsi ilmu, Awang Damit melihat perkembangan seni visual di negeri ini sangat positif, kerana melihat ramai pelukis-pelukis berbakat muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Satu kelebihan yang ada di Sabah ini kerana negeri ini dapat memberi infrastruktur yang bagus, contohnya Balai Seni Lukis Sabah (BSLS) ini yang merupakan satu platform yang sangat baik untuk pelukis-pelukis di Sabah.

“Begitu juga dengan penglibatan di mana setiap tahun BSLS sering menjemput pelukis-pelukis ini untuk menyertai pertandingan dan mempamerkan karya mereka, malahan institusi universiti awam dan swasta juga banyak dan mampu menampung pelajar dan pelukis-pelukis tempatan yang berbakat.

Awang Damit berkongsi pandangan dan harapannya tentang seni lukis visual.

Awang Damit berkongsi pandangan dan harapannya tentang seni lukis visual.

“Juga terdapat inisiatif daripada agensi tertentu serta pelukis sendiri untuk melibatkan diri ke peringkat antarabangsa, itu satu petanda yang positif untuk mereka pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Awang Damit, sejak dia mula berkecimpung dahulu ramai yang mengatakan seni visual ini tidak menjamin masa depan, tetapi mungkin kerana ramai pelukis-pelukis profesional yang juga graduan universiti mencipta nama di luar negara, persepsi itu bertukar.

“Tidak ada sebab untuk ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka belajar seni lukis, mungkin mereka melihat seni ini hanya lukis-lukis sahaja sedangkan bidang ini terlalu luas. Kita ada batik, seni reka logam halus, seramik, dan kita ada industri pereka yang itu semua melibatkan seni lukis serta memberi pulangan yang sangat besar.

“Sekarang ini, di seluruh dunia sedang membincangkan tentang pasaran seni, sementara itu, urusniaga tukaran wang pula berbillion-billion dilakukan dalam satu hari, dan mungkin pada ketika ini ada lelongan sedang berlaku di Hong Kong, London ataupun New York dan setiap kali lelongan akan membawa pulangan yang sangat banyak,”jelasnya.

Katanya juga, dahulu seni itu bersifat ideal namun kini kebanyakannya bersifat komersial, jadi peluang memang sentiasa ada pada pelukis-pelukis untuk meneruskan kerjaya mereka.

“Pada awal penglibatan saya, karya sebesar saiz kertas A4 bernilai RM5 sahaja tapi sekarang harganya boleh mencecah RM5000. Contohnya salah satu karya saya yang sudah dibeli, apabila masuk ke pasaran kedua dan dilelong, ia mencapai harga RM380,000 yang mana jualan tertinggi pernah ditawarkan di Malaysia.

Artis-artis tempatan yang tekun menyiapkan tugasan masing-masing.

Artis-artis tempatan yang tekun menyiapkan tugasan masing-masing.

“Dalam satu lelongan yang lain pula, ada juga lukisan saya mencapai RM300,000 sedangkan dahulu saya melukis dengan ukuran 2×2 kaki, ianya dijual dengan nilai RM400 hingga RM800.

“Tetapi pada tahun 2014, ia melonjak terus sehingga RM28,000 yang pernah pembida tawarkan, malahan karya lainnya pula dengan saiz yang sama ada yang bernilai RM50,000 hingga RM90,000 terutama sekali karya daripada siri Essence of Culture,”ujarnya.

Lantaran itu, beliau mendoakan pelukis-pelukis Sabah akan terus maju, dan berharap perhimpunan pelukis seperti program yang dilakukan di BSLS akan dapat membina satu kelompok pelukis yang dinamik pada masa akan datang.

Awang Damit ditemui pada Bengkel Art Masterclass yang berlangsung pada 1 hingga 7 Julai melibatkan 16 orang artis tempatan bertempat di BSLS.

Usaha BSLS terutama sekali kuratornya, Jennifer P. Linggi untuk menjemput pelukis terkenal Malaysia sangat dipuji sebagai satu inisiatif memperhalusi potensi pengkarya muda untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni visual.

Menurut Jennifer, selain daripada pameran tahunan yang dijalankan, BSLS juga membuat pertandingan melukis karya pilihan tahunan yang sudah 34 tahun dijalankan sejak kewujudan BSLS.

Kurator BSLS, Jennifer P. Linggi.

Kurator BSLS, Jennifer P. Linggi mengalu-alukan penyertaan pelukis dari segenap negeri bagi memperhalusi potensi mereka ke peringkat lebih jauh.

“Program itu dibahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat bahagian dan peringkat negeri. Setiap kali program tersebut dijalankan, BSLS akan mengumpulkan 90 karya di seluruh Sabah.

“Itulah masanya BSLS dapat mencungkil bakat-bakat baharu, menambahkan koleksi balai seni dan juga dapat merekod sejarah apa yang berlaku di Sabah, melalui karya-karya pelukis.

“100 tahun dari sekarang jika orang melihat koleksi BSLS, mereka akan dapat tahu perkembangan Sabah melalui karya-karya yang dikumpulkan dan itu sangat baik kerana ia salah satu aset negeri kerana keseluruhan nilai koleksi itu kini menjangkau RM10 juta,”katanya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta bengkel, Ahmad Zawawi Yunus berkata, beliau mula berkarya semenjak 2015 selepas menamatkan pengajian kerana minat yang mendalam pada bidang seni.

“Pada saya dalam kehidupan kita sendiri, apa sahaja yang kita mahu buat, perlukan minat kerana jika kita tidak minat, kita akan berasa tertekan. Seni visual ini pula memang mempunyai masa depan kerana jika dilihat di luar negara, karya seni ini sangat diagung-agungkan.

“Semenjak aktif dalam melukis pada tahun lepas, saya pernah memenangi tempat pertama Public Sculpture untuk projek Sime Darby iaitu City of Elmina yang merupakan batu loncatan untuk saya bergiat aktif dan berkarya.

“Apa jua yang saya lakukan, keluarga memang memberi sokongan penuh, bagi saya, itu yang penting bagi seorang pengkarya untuk lebih maju ke hadapan,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda