
Laporan/foto: Sahiman Rahman/ Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)
TAMBUNAN, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan komited membantu rakyat Sabah khususnya para pemohon Tanah Adat (Native Title) yang layak bagi proses pengeluaran geran hak pemilikan tanah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memberi peringatan keras kepada para penerima supaya tidak menjual tanah tersebut kerana ia adalah harta warisan keluarga dan generasi akan datang.
“Apa yang kita mahu semua penerima geran ini dapat memanfaatkan tanah berkenaan dengan sebaiknya.
“Rakyat perlu dibantu dengan pelbagai pendekatan dan inilah antara usaha kerajaan dalam membantu rakyat.
Tambah beliau, kerajaan akan terus berusaha memastikan individu yang layak akan mendapat geran masing-masing secara berperingkat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ketua Menteri Bersama Masyarakat Tambunan di Pisompuruan Square, pada Sabtu.
Pada majlis itu Shafie menyampaikan geran hak memiliki tanah, geran individu ‘Native Title’ kepada 339 penerima dengan keluasan 1227.42 hektar yang melibatkan tujuh buah mukim di daerah Tambunan iaitu Kirokot, Patau, Sunsuron, Toboh, Lintuhun, Nambayan, dan Monsorulung.
Shafie juga mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM1 juta dari kerajaan Sabah kepada Gereja St. Theresa serta menyampaikan sumbangan RM20 ribu kepada The Needy Children’s Home Of Toboh serta RM20ribu lagi kepada Rumah Anak Yatim Tambunan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM40 ribu keseluruhannya.
Majlis ini dihadiri 4000 masyarakat pelbagai lapisan di sekitar daerah Tambunan.

Shafie (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan bersama para penerima geran tanah.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick; Pegawai Daerah Tambunan, Jumain Abd. Ghani dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Safar Untong.
ER