Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Penyu Menangis Siapa Yang Tahu

By 24 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Dungun)/ Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
DUNGUN, 24 Jul (Malaysiaaktif) – ‘Penyu Menangis Siapa Yang Tahu’ membawa tuah kepada Kumpulan Teater Rimba Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) apabila diumumkan sebagai johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 manakala Muhammad Shohaimil Hafiz Salleh dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, semalam.
Kumpulan Teater Rimba PSMZA terdiri daripada tiga pelajar PSMZA iaitu Siti Sari Jaafar, 19, Iswary a/p Shamugam, 18 dan Muhammad Nor Azlan Yusof, 19, yang mempersembahkan pengisahan mengenai sejarah hidup penyair cacat, JM Aziz. Kumpulan tersebut menerima hadiah wang tunai RM3000.00, sijil dan plak. Manakala pelajar Management and Science University, Shah Alam yang juga anak kelahiran Marang, Muhammad Shohaimil Hafiz Zalleh, 25, dengan tajuk pidato  ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 dan menerima hadiah wang tunai RM1500.00, plak dan sijil.

Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 peringkat negeri Terengganu, Muhammad Shohaimil Hafiz Salleh bersama hadiah yang dimenangi.

Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 peringkat negeri Terengganu, Muhammad Shohaimil Hafiz Salleh bersama hadiah yang dimenangi.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Zulkifli Mohamad. Beliau  dalam ucapannya mengingatkan hadirin mengenai “Usaha mempertahankan kemerdekaan negara banyak ranjau dan cabaran yang menuntut sokongan dan dokongan setiap lapisan masyarakat. Sejarah dalam negara ini bukan dibentuk dalam sekelip mata tetapi sejarah terbentuk dalam satu rangka wadah perjuangan yang panjang dan memerlukan pengorbanan serta komitmen semua pihak. Program dan aktiviti berbentuk kenegaraan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia perlu disebarluas bagi menanamkan rasa cinta pada negara di mana perlunya generasi hari ini menghayatinya, mengenali tokoh-tokoh yang berjasa di sebalik keberadaannya Malaysia sehingga ke tahap yang ada sekarang”, katanya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Zulkifli Mohamad (tengah), Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail dan Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Sr Mohd Fikri Ismail bergambar bersama johan dan naib johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 peringkat negeri Terengganu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Zulkifli Mohamad (tengah), Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail dan Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Sr Mohd Fikri Ismail bergambar bersama johan dan naib johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 peringkat negeri Terengganu.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail dan Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Sr Mohd Fikri Ismail. Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu merupakan program tahunan sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan ianya bertujuan menggelorakan  sambutan Bulan Kebangsaan selain meningkatkan rasa kecintaan serta kebanggaan masyarakat terhadap negara.

Tinggalkan komen anda