
Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersatu hati dalam aspek kebajikan masyarakat di negeri ini.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, usaha di antara kedua-dua pihak perlu seiringan dalam usaha memastikan taraf hidup penduduk Sabah berada pada yang terbaik.
“Kami sedar dan peka akan keperluan orang yang kurang bernasib baik dan kurang upaya di negeri ini.
“Dengan kerjasama pelbagai NGO, kita sama-sama memahami isu serta mencari ruang dan peluang bagi mengatasi isu berkenaan.
“Peruntukan daripada pihak kerajaan untuk kebajikan penduduk di negeri ini, ia tidak pernah dikurangkan, walau bagaimanapun, kos masa kini membuatkan peruntukan sedia ada tidak mencukupi.
“Namun begitu, kementerian telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Sabah dan telah dipersetujui bahawa akan ada pertambahan peruntukan untuk tahun hadapan,” katanya kepada media selepas Lawatan Rasmi beliau ke Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Frankie berharap agar syarikat-syarikat swasta di negeri ini dapat membantu organisasi-organisasi yang memerlukan bantuan kewangan.

Frankie (dua dari kiri) menerima majalah dari Persatuan Orang-orang Tua mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Kebanyakan syarikat besar mempunyai program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan mereka boleh menggunakan program CSR sebagai salah satu cara untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
“Bantuan dana boleh disalurkan terus kepada NGO yang memerlukan agar mereka dapat melaksanakan visi dan misi tanpa kekangan kewangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, usaha dalam menjadikan kawasan bandar dan kawasan awam sebagai mesra orang kurang upaya (OKU) juga sedang giat dijalankan.
Lebih kurang 26 agensi kerajaan dan bukan kerajaan hadir dalam lawatan itu bagi berkongsi maklumat mengenai keperluan setiap organisasi serta menerangkan mengenai Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS).
-EM