Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Sentuhan Kasih Petronas di Pulau Balambangan

By 5 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Eviannie Kin/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KUDAT, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Jelas terpancar kegembiraan pada riak wajah murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan apabila keperitan mereka ke sekolah akan berakhir tidak lama lagi.

Perjalanan setiap hari bukan mudah bagi kanak-kanak ini kerana mereka perlu meredah hutan kira-kira sejam berjalan kaki dan ada yang perlu menaiki bot untuk sampai ke sekolah setiap hari.

Ada ketikanya, mereka terpaksa ponteng sekolah akibat cuaca buruk sehingga menjejaskan peratusan kehadiran mereka.

Wajah ceria murid-murid SK Balambangan ketika menerima lawatan rombongan Petronas.

Wajah ceria murid-murid SK Balambangan ketika menerima lawatan rombongan Petronas.

Namun, keperitan ini bakal berakhir apabila siapnya bangunan asrama baharu tajaan syarikat Petronas pada September nanti.

Menyedari kesukaran yang terpaksa dihadapi para pelajar sekolah itu, Petronas mengambil inisiatif untuk membina asrama baharu bernilai RM4 juta bagi memudahkan anak-anak di Pulau Balambangan terutama dari Kampung (Kg) Kok Simpul dan Kg Batu Sireh agar dapat menerima akses pendidikan yang berkualiti.

Suasana sesi pengajaran dan pembelajaran.

Suasana sesi pengajaran dan pembelajaran.

Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman bekata, projek merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan bagi meningkatkan mutu pendidikan pelajar di pulau tersebut.

“Asrama yang sedang dibina boleh menempatkan 120 pelajar dalam satu-satu masa dan kami amat berharap isu kehadiran yang sangat rendah yang dihadapi oleh sekolah dapat diatasi pada masa akan datang.

“Selain blok bangunan asrama lelaki dan perempuan, turut dibina dewan makan, surau, bilik warden dan tandas untuk keselesaan buat para pelajar,” ujarnya ketika ditemui media selepas melawat tapak projek di pulau berkenaan pada Khamis.

Rokiah bersama Naib Presiden Penyampaian Projek dan Teknologi, Noor Ilias Mohd Idris meninjau tapak projek bangunan.

Rokiah bersama Naib Presiden Penyampaian Projek dan Teknologi, Noor Ilias Mohd Idris meninjau tapak projek bangunan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman berkata, pendidikan adalah alat penting untuk memperbaiki kualiti hidup.

“Petronas komited membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan akses kepada pendidikan dalam kalangan anak-anak di luar bandar Sabah.

“Melalui projek ini, Petronas memberi sokongan dan bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam memberi sumbangan ke arah menyediakan fasiliti yang lebih baik kepada pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Guru Besar SK Balambangan, Salmat Abi semasa menyampaikan ucapan alu-aluan sempena lawatan itu.

Guru Besar SK Balambangan, Salmat Abi semasa menyampaikan ucapan alu-aluan sempena lawatan itu.

Sementara itu, Guru Besar SK Balambangan, Salmat Abi melahirkan penghargaan kepada pihak Petronas di atas sumbangan asrama kepada murid-murid di sekolahnya.

“Warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat menghargai inisiatif dan usaha Petronas yang membina asrama sebagai lonjakan kualiti pendidikan di sini.

Keadaan bangunan SK Balambangan yang digunakan sekarang

Keadaan bangunan SK Balambangan yang digunakan sekarang

 

Ini adalah satu lagi sumbangan besar oleh pihak swasta yang sudah pasti dapat menjamin masa depan pelajar-pelajar di sini di samping membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah ketidakhadiran pelajar yang sering berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Salmat turut menyuarakan masalah air yang sedang dihadapi warga sekolah apabila tiba musim kemarau.

Keadaan asrama yang sudah 80 peratus siap.

Keadaan asrama yang sudah 80 peratus siap.

Beliau mengharapkan ada pihak-pihak yang berkaitan dapat membantu menyelesaikan isu berkenaan bagi memberi keselesaan kepada murid-murid termasuklah warga sekolah.

Sekolah berkenaan mempunyai 10 guru dan 78 pelajar dari tiga kampung di sekitar pulau berkenaan iaitu Kg Selamat, Kg Kok Simpul dan Kg Batu Sirih.

Bercita-cita menjadi askar, Mohd Halmie Mohd Halin, 12, yang tinggal di Kg Kok Simpul kelihatan tidak sabar untuk menikmati kemudahan asrama baharu itu.

Mohd Halmie Mohd Halin.

Mohd Halmie Mohd Halin.

Halmie yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, memberitahu setiap hari dia dan adik perempuannya berjalan kaki seawal 5.30 pagi ke sekolah meredah laluan bukit dan hutan.

“Biasanya dari rumah kami memakai pakaian biasa dan menukar pakaian sekolah apabila tiba di sekolah kerana risau basah disebabkan hujan semasa perjalanan ke sekolah.

“Kadang-kadang apabila hujan kami sememang tidak dapat pergi sekolah,” ceritanya kepada pemberita.

Mila Abdul

Mila Abdul

Bagi Mila Abdul, 12, dari Kg Batu Sirih yang terpaksa menaiki bot ke sekolah pada setiap hari berharap dapat tinggal di asrama tersebut bersama dua adik perempuannya.

Menurut Mila, dia dan adik-adiknya kerap tidak hadir kesekolah disebabkan cuaca yang tidak menentu.

Antara bangunan asrama yang tidak sabar untuk diduduki oleh anak-anak ini.

Antara bangunan asrama yang tidak sabar untuk diduduki oleh anak-anak ini.

Dia yang bercita-cita menjadi guru, berterima kasih kepada Petronas dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti,” kongsinya.

-EM

Tinggalkan komen anda