
Laporan/foto: Jeanne J Som/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM) memperkenalkan Aplikasi Sistem Pan Borneo Dashboarding IR4.0 yang dibangunkan oleh pihak swasta menerusi pakej kontrator Pembinaan Kekal Mewah.
Aplikasi sistem ini merupakan pusat sehenti platform digital yang digunakan bagi membantu dalam menjayakan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan lebuhraya Pan Borneo.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata revolusi 4.0 terus berkembang di sekeliling, penggunaan dan penyesuaian, teknologi dan inovasi baru tidak lagi menjadi pilihan tetapi keperluan.
“Teknologi baru ini boleh menyediakan data yang tepat, masa, maklumat dan sistem yang lebih cekap menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi, ekonomi, kesesuaian dan kelestarian dalam infrastruktur yang dikendalikan.
“Projek lebuh raya Pan Borneo ini akan membantu meningkatkan sosio ekonomi rakyat Sabah dan mempromosikan industri pelancongan melalui jalan yang saling berkaitan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei,” katanya semasa Majlis Pelancaran Aplikasi Sistem Pan Borneo Dasboarding WP4, pada Sabtu.
Tambahnya, Kementerian Kerja Raya kini sedang menuju ke arah digitalisasi industri pembinaan yang menumpukan usaha meningkatkan dan mengoptimumkan produktiviti industri pembinaan menerusi teknologi sebagai pemangkin kepada inisiatif inovasi, digitalisasi dan kemajuan teknologi.
Pada majlis tersebut, beliau turut menubuhkan “Group Whatsapp” KKRM bagi menyalur terus berita-berita yang berkait rapat dengan projek dan program yang dikendalikan kementerian beliau kepada media.
-EM