
Laporan/foto: Nornisah Khairoji/Mohd Azhar Abu Yazid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Lawatan rasmi Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador ke Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini membuka ruang kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin menyatakan ATM sentiasa memberi sokongan kepada PDRM untuk menghantar anggota-anggotanya mengikuti pengajian di UPNM.
“Pada masa yang sama, ada ruang kepada kedua-dua perkhidmatan ini menggunakan universiti ini bagi tujuan meningkatkan keupayaan pendidikan serta cetusan minda yang lebih baik,” jelas Zulkifli pada sidang media di Wisma Pertahanan hari ini.

Datuk Seri Abdul Hamid Bador menerima Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu
Menurut Abdul Hamid, kunjungan ini memberikan satu keyakinan di mana kerjasama dan hubungan akrab yang terjalin antara ATM dan PDRM akan dapat ditingkatkan lagi sekaligus mengukuhkan lagi pertahanan dan kedaulatan negara.
Abdul Hamid turut mengutarakan hasrat untuk mendapatkan akses kepada fasiliti-fasiliti perubatan di Hospital ATM bagi kegunaan bersama anggota PDRM.
“Pihak ATM memberi kemudahan rawatan kesihatan di Hospital ATM kepada anggotanya yang berkhidmat termasuk pesara. Sekiranya mempunyai kemampuan peruntukan, tidak mustahil anggota PDRM juga boleh menggunakan kemudahan di hospital yang sama,” jelasnya lagi.
Ketibaan Abdul Hamid disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja yang diketuai oleh Mejar Norshahidin Long. Ia merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Markas ATM sejak menyandang jawatan KPN pada Mei lalu.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Datuk Sri Affendi Buang.
-AO