Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

JTU Melangkah Kehadapan dengan PANTAS

By 18 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Sahiman Rahman / Ahmad Sarujun Seting (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) telah terus melangkah kehadapan dengan memperkenalkan Unit Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang bermaksud ‘Cepat dan Mudah’ sejak 2012 bagi menangani masalah tuntutan Hak Adat Tanah Anak Negeri (NCR) serta menyelesaikan kelewatan pengeluaran geran tanah adat di negeri ini.

Bagi memudahkan penyelarasan dan pengurusan NCR, JTU telah membina sebuah bangunan bagi menempatkan Unit Pantas sebagai bangunan khusus untuk menangani masalah tuntutan NCR.

Bangunan tiga tingkat bernilai RM6 juta tersebut dibina pada Ogos 2016 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2018 dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Program Khas Anak Negeri (PKAN).

Ia mampu menempatkan 200 kakitangan Unit PANTAS antaranya petugas dilapangan yang menjalankan kerja-kerja mengukur tanah dan juga kakitangan pengurusan pejabat.

Bas Pejabat Tanah Bergerak (Mobile Office) Unit Pantas

Bas Pejabat Tanah Bergerak (Mobile Office) Unit Pantas

Bagi merakyatkan perkhidmatan awam hingga ke akar umbi, JTU mengambil inisiatif mewujudkan Pejabat Tanah Bergerak (Mobile Office) PANTAS untuk turun padang bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Pejabat Tanah Bergerak PANTAS telah pun memulakan perkhidmatannya ke daerah-daerah seluruh Sabah seperti Semporna, Tawau, Kudat, Kota Marudu, Keningau, Ranau dan Kuala Penyu untuk bertemu dengan penduduk tempatan dan membantu menyelesaikan kesulitan yang dihadapi.

Dengan adanya pejabat bergerak ini juga, tuntutan hakmilik tanah adat, pemberi milikan tanah yang adil, kelewatan memproses permohonan tanah dapat di atasi selain dapat menyebarkan informasi mengenai dasar-dasar kerajaan dalam urus tadbir tanah Anak Negeri.

Bagi memperkasakan tadbir urus pentadbiran tanah dan ukur di negeri ini, JTU melangkah kehadapan dengan memperkenalkan JTU Dashboard, yang mempaparkan Teras Perniagaan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JTU secara dalam talian in real yang boleh dicapai daripada pelbagai pangakalan data dari 44 pejabat Tanah dan Ukur Daerah di Sabah.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Safar Untong berkata, atas inisiatif dan inovasi ke arah perkhidmatan atas talian, JTU telah memenangi  anugerah Special Achievement in GIS di peringkat Antarabangsa pada 11 Julai 2018 di San Diego, Amerika Syarikat.

Shafie (duduk) menandatangai buku pelawat sempena perasmian di pejabat bangunan Unit PANTAS sambil disaksikan Safar (kiri), Ewon (dua dari kanan), Samsuni (tengah) dan Yusof (dua dari kiri)

Shafie (duduk) menandatangai buku pelawat sempena perasmian di pejabat bangunan Unit PANTAS sambil disaksikan Safar (kiri), Ewon (dua dari kanan), Samsuni (tengah) dan Yusof (dua dari kiri)

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa merasmikan Bangunan Unit PANTAS pada 09 Julai lalu, berkeyakinan dengan adanya pendekatan sedemikian ia mampu meningkatkan dan mempercepatkan proses pengeluaran geran tanah pada masa akan datang.

Katanya, kerajaan bukan sahaja dapat menyelesaikan tuntutan NCR kepada anak-anak negeri Sabah malah akan melindungi Tanah Anak Negeri dari pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan.

Penubuhan Pejabat Tanah Bergerak PANTAS juga membuktikan keprihatinan kerajaan Sabah, yang sentiasa mengambil berat tentang pemilikan tanah dan perlindungan Tanah Hak Adat Anak Negeri atau Tanah Adat Anak Negeri di Sabah.

Shafie turut menyaran JTU supaya terus menghasilkan inovasi dan kreativiti dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) agar dapat memperkasakan tadbir urus pentadbiran tanah dan ukur di negeri ini.

Para penerima geran tanah geran subsidiari  merakamkan gambar kenangan bersama Shafie (enam dari kiri)

Para penerima geran tanah geran subsidiari merakamkan gambar kenangan bersama Shafie (enam dari kiri)

Pada majlis tersebut, Shafie menyampaikan 3,547 geran subsidiari (strata title) bagi unit kediaman dan komersial di Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang.

Shafie menyeru kepada pemaju-pemaju hartanah supaya dapat memindah milik geran terbabit kepada pembeli pada tahun ini juga memandangkan geran yang diserahkan tersebut masih di atas nama pemaju hartanah selaku pemilik tanah yang dibangunkan.

Mengikut rekod JTU, sehingga Jun 2019 sebanyak 6,889 geran tanah di daerah-daerah seluruh Sabah sudah sedia untuk diserahkan kepada pemilik pada bila-bila masa.

Tinggalkan komen anda