Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Lebih 250 Orang Asli Suku Batek Kuala Koh dan Aring 5 Terima Suntikan Vaksin

By 8 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Wan Seman Bin Wan Bedollah (JELI/GUA MUSANG)

GUA MUSANG, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang telah memulakan suntikan vaksin secara berperingkat kepada Masyarakat Orang Asli suku Batek Kuala Koh dan Aring 5 sejak minggu lepas.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Muhd Rafiq Mohd Kasri, lebih 250 penduduk Orang Asli suku Batek, Gua Musang telah menerima suntikan vaksin yang dijalankan melalui 3 fasa.

Menurut beliau lagi, fasa pertama suntikan vaksin adalah melibatkan semua petugas iaitu mereka yang bertugas di Kampung Kuala Koh, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) bagi mengelakkan berlaku jangkitan.

Antara petugas agensi kerajaan yang telah menerima suntikan ialah Pejabat Kesihatan Gua Musang, Hospital Gua Musang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia ( PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), ujarnya lagi.

Manakala, fasa kedua pula melibatkan waris kepada pesakit Orang Asli suku Batek yang berada di PPS dan RIKA.

Penduduk Orang Asli Kuala Koh sedang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin daripada petugas Jabatan Kesihatan

Penduduk Orang Asli Kuala Koh sedang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin daripada petugas Jabatan Kesihatan

“Fasa ketiga telah dilaksanakan pada 1 Julai membabitkan penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dan Aring 5,” katanya ketika ditemui di Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang.

“Setakat ini suntikan vaksin telah menunjukkan perkembangan positif kerana telah mencapai 90% sasaran dan mereka yang belum menerima suntikan akan dilaksanakan secara berperingkat (mopping),” ujarnya lagi.

Suntikan vaksin dilakukan bertujuan untuk mengelakkan daripada penularan penyakit berjangkit (demam campak), beguk dan rubella serta dapat meningkatkan tahap imuniti yang rendah.

Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang akan terus melaksanakan suntikan vaksin kepada pesakit yang telah discaj dari hospital termasuk mereka yang telah pulih serta dipindahkan ke PPS, katanya lagi.

“Selain itu, pelbagai aktiviti yang akan dilakukan kepada masyarakat Orang Asli suku Batek yang berada di PPS, antaranya taklimat mengenai kesihatan dan kebersihan diri, motivasi serta kaunseling bagi mengisi masa lapang mereka,” tambahnya lagi.

Sebahagian Orang Asli yang hadir untuk disuntik vaksin secara berperingkat

Sebahagian Orang Asli yang hadir untuk disuntik vaksin secara berperingkat

Perkembangan Masyarakat Orang Asli Kuala Koh semakin bertambah baik apabila jumlah kemasukkan pesakit ke Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai telah berkurangan berbanding sebelum ini dan pesakit di hospital juga memberi respon yang baik terhadap rawatan.

Namun begitu, pemeriksaan kesihatan di PPS/RIKA dan pengesanan kes secara aktif di Kuala Koh dan Aring 5 akan terus dijalankan bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang sihat, katanya lagi.

Beliau juga turut menasihati agensi, Jabatan, NGO dan orang awam untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sekiranya ingin berurusan dan menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli suku Batek buat masa ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda