Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

JPN Mobile Permudahkan Proses MyKad Komuniti Orang Asli

By 8 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto : Erzufariza Zulkifly (Gua Musang)

GUA MUSANG, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Inisiatif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Kelantan turun padang melalui perkhidmatan mobile atau pejabat bergerak telah memudahkan komuniti Orang Asli suku Batek di perkampungan Kuala Koh membuat pendaftaran dan gantian MyKad, Permohonan Daftar Lewat Kelahiran dan penyerahan sijil kelahiran.

Program ini dijalankan secara kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gua Musang.

Menurut Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Kelantan, Asrehan Ab. Razak, program ini bertujuan untuk menyerahkan sijil daftar lewat yang telah dipohon, memproses permohonan gantian MyKad rosak dan membuat MyKad baharu kepada pemohonan kali pertama.

Kakitangan JPN sedang melaksanakan proses permohonan MyKad di dalam Unit Mobile JPN

Kakitangan JPN sedang melaksanakan proses permohonan MyKad di dalam Unit Mobile JPN

Program ini berlangsung selama 3 hari melibatkan beberapa lokasi bermula di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA), Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Kampung Orang Asli suku Batek di Felda Aring 5.

“Seramai 37 Orang Asli suku Batek telah membuat permohonan MyKad baharu, manakala 103 orang lagi menerima sijil kelahiran,” tambah beliau lagi.

Jumlah pendaftaran MyKad itu membabitkan 21 orang pemohon kali pertama, 1 gantian MyKad rosak dan 15 orang kanak-kanak berumur 12 tahun.

Asrehah berkata, komitmen JPN untuk menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia tidak terbatas setakat perkhidmatan di kaunter JPN sahaja.

Menurutnya juga, JPN telah memulakan program outreach ke seluruh pelusuk tanah air sejak tahun 2002 yang dikenali sebagai Program Turun Padang.

Program turun padang JPN ditambah baik dan dimantapkan lagi capaian kepada masyarakat melalui penubuhan Unit Mobile atau pejabat bergerak di Semenanjung Malaysia dan Unit Khas bergerak di Sabah dan Sarawak.

Kakitangan JPN Kelantan dalam proses menyerahkan Sijil Daftar Lewat kepada sebahagian masyarakat Orang Asli suku Batek FELDA Aring 5, Gua Musang

Kakitangan JPN Kelantan dalam proses menyerahkan Sijil Daftar Lewat kepada sebahagian masyarakat Orang Asli suku Batek FELDA Aring 5, Gua Musang

“Program Turun Padang atau Program Outreach JPN yang bertujuan untuk menjalankan pendaftaran kelahiran, kematian dan MyKad di kawasan pedalaman akan terus dipergiatkan lagi supaya lebih ramai rakyat mendapat faedah daripada pelaksanaannya,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa program ini telah dilaksanakan di perkampungan Orang Asli Pos Simpor dan Pos Tohoi pada tahun ini. Seterusnya, akan dilaksanakan di Pos Gob, Pos Hau, Pos Balar, Pos Tendrik, Pos Bihai dan Pos Belatim dengan kerjasama JAKOA.

“Pihak Jabatan Pendaftaran sentiasa bersedia dan sudi membuat program sebegini sekiranya mendapat permintaan daripada masyarakat,” ujar beliau.

-NAZ

Tinggalkan komen anda