
Laporan/foto: Sherley Emjus/Ahmad Sarujin Seting & Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 5 Julai (Malaysiaaktif) – Belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat tempat di universiti-universiti tempatan melalui ambilan sesi pertama yang lalu digalakan memohon ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka menyeru kepada anak bangsa khasnya anak-anak Sabah untuk merebut peluang kedua yang diberikan kepada mereka melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) atau kini dikenali sebagai Program Pra-Pendidikan Tinggi.
Beliau yang juga Alumni UiTM berpendapat bahawa program ini merupakan peluang kedua kepada anak Bumiputra Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui UiTM.
“Program MDAB merupakan satu program yang baik dan secara tidak langsung telah membuka peluang kepada para belia yang tidak layak untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana IPTA kerana tidak melepasi syarat yang ditetapkan.
“Sebab itulah pada hari ini kita menjemput pihak UiTM untuk memberi penerangan kepada umum berkenaan dengan peluang-peluang pengajian di UiTM terutama sekali bagi pengajian Pra-Diploma.” jelas beliau
Norzawiyah berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taklimat ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ dari UiTM Sabah sempena Program Pameran Malaysia Baharu anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di Suria Sabah pada Jumaat.
Tambah beliau, sebagai mana yang dijelaskan oleh Penolong Pendaftar Kanan UiTM, Muhd Zahimi Din Janai, syarat untuk memasuki program MDAB ini sangat rendah iaitu hanya perlu lulus minima tiga kredit iaitu Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan dan Sejarah serta lulus Bahasa Inggeris.
Namun, satu kerisauan yang wujud dalam diri para belia iaitu bertutur dalam Bahasa Inggeris menjadi faktor utama mereka untuk tidak mahu melanjutkan pelajaran ke UiTM.
Bagaimanapun menurut Norzawiyah, kerisauan ini tidak sepatutnya wujud dalam diri para belia kerana bahasa Inggeris sememangnya merupakan bahasa yang sangat penting untuk dikuasai oleh mereka.
“Namun demikian, UiTM menekankan mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk membentuk anak bangsa kita sendiri supaya mereka lebih fasih berbahasa Inggeris.
“Para belia tidak perlu risau kerana apabila mereka sudah memasuki UiTM kelak mereka akan diberikan pendedahan dan turut disediakan kelas Bahasa Inggeris agar mereka dapat memperbaiki penggunaan bahasa Inggeris mereka,” katanya lagi.
Terdapat juga sesetengah belia yang sanggup menghabiskan wang ringgit begitu banyak untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tingi Swasta (IPTS) kerana tidak layak memasuki mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuklah UiTM.
Golongan ini sebenarnya tidak mengetahui bahawa terdapat program yang ditawarkan bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran di IPTA dan salah satunya adalah program MDAB oleh UiTM.
Rebutlah peluang yang mana pada tahun ini pendaftaran program dibuka bermula 8 Julai sehingga 24 Ogos 2019 di seluruh cawangan UiTM.
-EM