
Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Mesyuarat Panel Penasihat Industri Program Politeknik Kota Kinabalu (PKK) yang diadakan setiap tahun, mampu melahirkan lebih ramai graduan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri masa kini.
Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Ts. Zainab Othman berkata mesyuarat ini merupakan platform terbaik bagi semua panel penasihat program yang dilantik institusi ini, untuk menyumbangkan idea dan cadangan penambahbaikan bagi memastikan sistem pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah relevan, berkualiti serta menepati keperluan pihak industri.
“Dengan cabaran baharu seperti Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), kita perlu melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital tersebut untuk kekal berdaya saing.

Zainab mewakili Politeknik Kota Kinabalu menandatangani Sijil Kolaborasi bersama Alex Chan, Pengarah Urusan Softwise Sdn. Bhd.
“Justeru Mesyuarat Panel Penasihat Program yang diadakan pada pagi ini amatlah bertepatan bagi mengenal pasti keperluan dan penambahbaikan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran sedia ada, selaras dengan peredaran masa dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh badan-badan akreditasi seperti MQA,” tambah Zainab.
Beliau berkata demikian semasa pembukaan Mesyuarat Panel Penasihat Program Politeknik Kota Kinabalu Kali ke-6, pada Selasa.
Turut diadakan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi di antara Politeknik Kota Kinabalu dengan dua industri tempatan, FIZRIX Systems Sdn Bhd dan SOFTWISE Sdn Bhd yang mana juga terlibat dalam barisan panel IAP kali ini.
Menurut Zainab, jalinan kolaborasi yang termeterai bersama beberapa industri tempatan dan di Semenanjung Malaysia, telah memainkan peranan penting dalam membantu pembentukan program-program sedia ada di institusi ini.
“Kita telah mempunyai jalinan kolaborasi bersama 116 industri di seluruh negeri Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Zainab mewakili Politeknik Kota Kinabalu bertukar Sijil Kolaborasi yang telah dimeterai dengan Idzrul Azraai Dato’ Hj. Mohd. Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif Fizrix Systems Sdn Bhd
“Hari ini kita bakal menyaksikan dua lagi jalinan kolaborasi yang akan dimeterai, menjadikan jumlah kolaborasi Politeknik Kota Kinabalu bersama industri sehingga kini sebanyak 118 industri.
“Jalinan ini turut memainkan peranan secara tidak langsung dalam peningkatan kebolehpasaran graduan Politeknik Kota Kinabalu khususnya.
“Ini terbukti apabila tahun ini (2019) seramai 96.5 peratus graduan Politeknik Kota Kinabalu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, yang mana mempunyai peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding kadar tahun lepas (2018).
“Ini bermakna kita sedang berada di landasan yang betul dan akan terus berusaha untuk melahirkan lebih graduan yang berdaya saing dengan bantuan pihak industri,” katanya lagi.
Seramai 36 wakil industri yang telah dilantik selaku panel penasihat kepada 17 program pelbagai bidang sedia ada di Politeknik Kota Kinabalu.

Zainab (enam dari kanan) bersama barisan Ahli Panel Penasihat Program Politeknik Kota Kinabalu dan Pengurusan Politeknik Kota Kinabalu
Setiap panel adalah dari pelbagai latar belakang dan dilantik bagi tempoh tiga tahun, yang mana mereka akan bermesyuarat setahun sekali bersama ahli akademik Politeknik Kota Kinabalu.
Tujuan utama adalah untuk membincangkan perkara-perkara menjurus kepada pemantapan struktur pengajian kesemua program yang ditawarkan di Politeknik Kota Kinabalu agar selari dengan peredaran masa dan keperluan industri.
Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Pengarah Akademik, Norhanom Awang; Timbalan Sokongan Akademik Mohd Sahran Mohidin; Ketua-ketua Jabatan Kejuruteraan dan Bukan Kejuruteraan, serta ketua-ketua program dan pensyarah Politeknik Kota Kinabalu.
ER