
Laporan/foto: Khairunnisa Abd Rahman/Noraidah Mat Seh (Jasin)
JASIN, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan melalui Kementerian Industri Utama giat memperkasakan pembangunan pekebun kecil bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan mereka dengan melaksanakan amalan pertanian baik dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dalam penanaman sawit.
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit dan Pekebun Kecil di Jasin Sabtu lalu berkata, kerajaan menetapkan pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO bagi memastikan minyak sawit Malaysia dihasilkan melalui pengeluaran mampan.
“Saya pasti dengan pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO kepada pekebun kecil, pengusaha ladang dan pengilang buah sawit dapat memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan menghasilkan minyak sawit mampan.”
“Kita mahu minyak kelapa sawit Malaysia dikeluarkan secara mampan kerana negara-negara maju memberi keutamaan kepada negara pengeluar sawit yang dihasilkan secara mampan bagi perdagangan global.
“Sehingga 31 Mei 2019, seluas 2.13 juta hektar atau 36% daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia mendapat pensijilan MSPO manakala bagi negeri Melaka seluas 27,913 hektar atau 49% daripada 56,811 hektar tanaman sawit mendapat pensijilan MSPO namun keluasan pekebun kecil persendirian yang mendapat pensijilan MSPO di Melaka masih sangat rendah iaitu seluas 295 hektar atau 2.2%.
“Kerajaan prihatin terhadap kos yang ditanggung pekebun kecil dan membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO dengan menyediakan insentif sebanyak RM30 juta merangkumi kos yuran pensijilan, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri,” ujarnya.
-KN