Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Fokus Capai Negeri Pintar Serantau 2025

By 24 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

KUALA LUMPUR, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor sedang meneroka beberapa bidang utama dalam hasrat mencapai taraf Negeri Pintar Serantau menjelang tahun 2025.

Menteri Besar Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri memberi tumpuan kepada bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik, pengangkutan serta makanan dan minuman yang menjadi nadi ekonomi di negeri ini.

“Ianya gabungan teknologi bersama inisiatif terbaharu seperti bandar pintar yang juga diaplikasikan di seluruh dunia terutama di bandar-bandar besar untuk bersaing pada peringkat serantau.

“Ini trend dunia dan pembangunan terkini di bandar besar dunia, sekiranya kita pergi mana-mana pun di Amsterdam, Singapura atau Jakarta, negeri pintar adalah topik yang dibincangkan,” katanya.

Kerajaan Selangor sedang fokus bagi mencapai taraf Negeri Pintar Serantau menjelang tahun 2025 - Amirudin.

Kerajaan Selangor sedang fokus bagi mencapai taraf Negeri Pintar Serantau menjelang tahun 2025 – Amirudin.

Menurut Amirudin, Selangor telah mencapai status negeri maju sejak 2005 namun ia tidak cukup untuk bersaing dengan bandar-bandar besar lain.

“Elemen tambahan yang perlu dimasukkan dalam mewujudkan negeri pintar seperti bandar-bandar yang terurus secara pintar, diikuti dengan mengukuhkan sektor perindustrian serta ekonomi.

“Oleh itu sektor aeroangkasa menjadi salah satu bidang yang diberikan tumpuan di Selangor,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan program The Selangor, Regional Powerhouse Forum, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Selangor juga telah mempunyai asas kukuh dalam bidang aeroangkasa berbanding negeri-negeri lain.

“Kita mempunyai 200 syarikat yang menyumbang besar dalam bidang aeroangkasa dunia termasuk pemusatan Sepang, Subang dan Serendah (3S) yang menguasai 62 peratus industri tersebut di Malaysia.

“Di samping kemudahan infrastruktur dan industry, perkhidmatan menjadi salah satu teras ekonomi di Malaysia seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tersenarai di kedudukan 12 paling rancak di Asia,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda