
Foto: Ihsan Bernama
PUTRAJAYA, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Latihan bagi pergerakan formasi manusia dan persembahan padang sempena Hari Kebangsaan 2019 bermula hari ini di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli berkata latihan persembahan yang melibatkan seramai 3,800 pelajar dari sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu setakat ini memuaskan hati dengan komitmen diberikan sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat.
“Cabaran pada tahun ini agak berbeza kerana kita mempunyai waktu yang singkat memandangkan kita hanya dapat memuktamadkan konsep persembahan pada kira-kira sebulan setengah yang lalu,” katanya kepada Bernama.
Namun, hasil kerjasama serta semangat yang ditunjukkan para pelajar dapat merealisasikan persembahan tersebut untuk latihan pertama hari ini berjalan lancar, katanya.
“Untuk hari ini saya berpuas hati dengan persembahan mereka dan mengikut pengalaman saya yang terlibat dengan acara sebegini lebih 20 tahun, biasanya momentum para peserta akan meningkat dari hari ke sehari dan pada 31 Ogos nanti saya yakin ia akan menjadi sempurna,” katanya.
— BERNAMA