
Laporan/foto:Jeanne J Som/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
PUTATAN, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, masyarakat diseru menghayati semangat patriotisme serta perpaduan demi pembangunan tanah air yang berterusan.
Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai berkata, perpaduan harus dipupuk menerusi penghayatan masyarakat terhadap pengorbanan para pejuang kemerdekaan.
“Sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia yang disambut setiap tahun, saya menyeru kepada seluruh masyarakat untuk mengukuh serta menghayati perpaduan di antara kita dalam membangunkan tanah air.

Husaini (tiga dari kiri), Maddilli (empat dari kanan) selepas merasmikan gimik Program Ambang Merdeka sambil diperhatikan oleh Roni (kiri) dan Hayati (empat dari kiri).
“Di bawah Malaysia baharu ini, kita sebagai sebuah kerajaan mengajak anda semua untuk terus menghayati nilai-nilai patriotisme yang menghasilkan keharmonian sejagat, apatah lagi dengan etnik yang berbilang kaum di negeri ini, perlu dipelihara,” ujarnya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PMM) Petagas, Maddilli Yusof sempena Program Ambang Merdeka di salah sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari menyatakan program tersebut amat baik untuk golongan pelajar mahupun masyarakat dalam usaha menanam nilai-nilai murni serta penghayatan kemerdekaan.
“Penglibatan dan kehadiran dari pemimpin Ketua Kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta masyarakat yang berbilang kaum amat menggalakkan terhadap program yang diadakan,” jelas beliau.
Program anjuran PPM Petagas dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Putatan itu berlangsung selama dua hari dan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti menderma darah, cabutan tiket bertuah, pertandingan karaoke, pertandingan pakaian beragam dan mewarna bagi kanak-kanak.
Hadir bersama Penolong Ketua Polis Daerah Penampang, Asp Roni Abd. Rahim dan Pegawai Penerangan Daerah Putatan, Hayati Yakob.
ER