Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Bangga, Bersyukur Hidup di Negara Merdeka – Rahman

By 20 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Eviannie Kin(Kota Kinabalu)

TUARAN, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Bagi warga emas, Rahman Jali, 61, berpakaian baju dengan corak jalur gemilang adalah cara baginya untuk menyatakan rasa bangga dan syukur sebagai rakyat yang hidup di negara yang merdeka ini.

Pesara Polis yang berasal dari Kampung Mengkabong itu berkata, ia adalah sebagai salah satu cara baginya untuk menyambut Bulan Kebangsaan dan seterusnya menunjukkan rasa penghargaan terhadapat perjuangan dan pengorbanan para pemimpin terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

“Sejak bersara pada tahun 2014, saya lebih bebas dan aktif memakai pakaian bercorak setiap kali menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.

“Selain berpakaian unik, saya juga pernah menyertai pertandingan kenderaan berhias dan pernah memenangi beberapa kategori pada tahun 2015 dan 2016.

“Kalau ada lagi peluang dan kesempatan, saya pasti akan menyertai untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena menyambut Bulan Kebangsaan ini,” katanya ketika ditemui media selepas bersama-sama menghadiri Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Daerah 2019 di Perkarangan Dewan Tun Hamdan, Tamparuli pada Selasa.

Dalam pada itu, Rahman turut menitip nasihat kepada golongan belia agar sentiasa bersyukur dengan keamanan serta keharmonian yang dikecapi selama ini.

Rahman juga mencadangkan supaya para belia dilibatkan dalam setiap acara dan aktiviti sempena Bulan Kebangsaan ini agar mereka dapat didedahkan dengan pelbagai usaha-usaha kerajaan dalam menjaga, membela dan memelihara perpaduan negara.

“Melalui cara itu, diharapkan para belia akan sedar betapa pentingnya menjaga perpaduan dalam memastikan kelangsungan perpaduan negara kita yang berbilang kaum ini,” katanya.

ER

Tinggalkan komen anda