Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Menteri Turun Padang Bertemu Penanam Sawit Terengganu

By 20 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aneta Ahmad (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 278 orang penanam sawit dari negeri Terengganu berkumpul di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu bagi menghadiri Majlis Taklimat Persijilan  Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit dan Pekebun Kecil Terengganu yang dihadiri oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Kerajaan sentiasa memberi tumpuan penting kepada usaha mengukuhkan industri sawit terutamanya dalam memperkasakan pembangunan pekebun kecil bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan seterusnya pendapatan.
Matlamat ini dapat dicapai melalui penyertaan aktif pekebun kecil dalam melaksanakan amalan pertanian baik melalui persijilan MSPO dalam penanaman sawit dan pelaksanaannya adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan mengukuhkan imej industri sawit negara.

Kementerian bersama agensi dibawahnya iaitu MPOB dan MPOCC sedang giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil dan pengusaha sawit bagi mematuhi prinsip kemampanan pensijilan MSPO. Usaha sedang dipergiatkan oleh MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC. Pensijilan MSPO oleh pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil.

Bagi Negeri Terengganu, 2 daripada 3 SPOC telah berjaya mendapat sijil MSPO. Ini melibatkan bilangan pekebun kecil persendirian seramai 100 orang dengan keluasan 212 hektar. Kawasan Hulu Terengganu secara kursusnya terdapat seramai 1,214 pekebun kecil sawit dengan keluasan kawasan tanaman sebanyak 4,043 hektar. Pekebun kecil persendirian di Hulu Terengganu ini dikelompokkan di bawah SPOC T2. Daripada jumlah tersebut seramai 50 pekebun kecil persendirian dengan keluasan 109.99 hektar telah dipersijilkan dengan MSPO pada tahun 2018.

10 orang pekebun kecil yang menerima Sijil MSPO

10 orang pekebun kecil yang menerima Sijil MSPO

Kerajaan juga telah menyediakan insentif bagi bantuan kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri.

Harun Ahmad, 69 dari Kampung Nibong berkata “Pekebun kecil perlu tahu insentif yang telah disediakan oleh kerajaan dan mengharapkan kerajaan dapat membantu pengusaha dengan meningkatkan imej industri sawit khasnya menjadikan produk berasaskan sawit menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian di Malaysia.”

Harun Ahmad, 69 tahun menunjukkan sijil MSPO yang diterima beliau

Harun Ahmad, 69 tahun menunjukkan sijil MSPO yang diterima beliau

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata “Kerajaan telah melanjutkan tarikh permohonan insentif MSPO dari 30 Jun 2019 ke 31 Disember 2019 kepada semua pengusaha sawit. Kerajaan juga telah meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50 peratus bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1000 hektar. Insentif bagi pekebun kecil tersusun juga akan ditingkatkan daripada RM10 sehektar kepada RM55 sehektar.”

Di samping itu, kempen Sayangi Sawitku telah dilancarkan oleh Kerajaan bagi memupuk kecintaan dan kebanggaan rakyat kepada industri sawit dan penggunaan produk sawit untuk sektor makanan dan bukan makanan.

-II-

Tinggalkan komen anda