
Laporan/foto: Norhafizah Abd Rahim/ Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cintakan Negara dalam kalangan penjawat awam persekutuan dengan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu 2019.
Program yang diadakan di Pekarangan Wisma Persekutuan Kuala Terengganu pagi tadi telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharudin Shah dihadiri kira-kira 700 penjawat awam persekutuan melibatkan 40 jabatan dan agensi persekutuan.
Beliau dalam ucapannya berkata, “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih bukan sekadar tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, malah perlu dihayati dan fahami maksudnya supaya impian dalam menjadikan Malaysia sebuah Negara maju, aman dan makmur dalam segala bidang dapat dijadikan kenyataan.”

Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah bergambar dengan anggota Japen Terengganu setelah selesai Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu 2019
Beliau turut menyeru penjawat awam untuk mendukung Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019- 2023 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Januari 2019.
“Usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa dijalankan secara agresif oleh kerajaan hari ini. Apabila rasuah dan salah guna kuasa dihapuskan, pentadbiran kerajaan akan semakin kukuh. Namun, dalam menjayakan hasrat ini penyertaan semua pihak sebagai ‘mata dan telinga’ dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, amatlah diperlukan. Sesungguhnya prinsip integriti dan akauntabiliti amat penting dan perlu dihayati serta dijadikan budaya dan amalan oleh segenap lapisan penjawat awam.”

Raja Kamarul Bahrin Shah (tengah) dan Azahar (bersongkok) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu 2019
Bagi peserta program Norhasliza Haris, 40, Kempen Kibar Jalur Gemilang menjadi salah satu faktor yang mampu menaikkan semangat patriotik dalam kalangan penjawat awam dan perlu diteruskan setiap tahun.
“Sebagai penjawat awam yang sentiasa sibuk dengan rutin harian, kadang-kadang kita terlupa dengan kedatangan bulan kemerdekaan. Kempen sebegini mampu memberi ‘ingatan’ kepada kita tentang sambutan bulan kebangsaan dan seterusnya melibatkan diri dengan aktiviti kemerdekaan seperti pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan dan lain-lain lagi.”

Sebahagian penjawat awam persekutuan yang hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu 2019
Menurut kakitangan Jabatan Akauntan Negara Negeri Terengganu, Siti Munirah Muhammad Hatta, 34 pula sambutan bulan kemerdekaan diadakan seawal bulan Ogos dapat memberi pendedahan kepada generasi muda dalam menyemai semangat patriotik dalam diri mereka.
Katanya lagi, jika usaha sebegini tidak dilakukan pada masa sekarang, semangat patriotik dalam diri generasi muda kian pudar.
“Penganjuran program seperti ini dapat mendedahkan kepada generasi muda dalam menghargai nilai kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu. Dengan cara inilah sedikit sebanyak kita dapat mendidik generasi muda menghayati erti kemerdekaan” katanya.
Pada program tersebut, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharudin Shah turut melekatkan Jalur Gemilang pada sepuluh kenderaan jabatan persekutuan. Pelbagai acara menarik disediakan dalam program ini seperti perarakan Jalur Gemilang, deklamasi puisi, ceramah integriti dan bacaan ikrar perkhidmatan awam.
Majlis perasmian turut dimeriahkan dengan perarakan 62 Jalur Gemilang yang dibawa oleh 62 penjawat awam persekutuan sempena 62 tahun kemerdekaan negara. Deklamasi puisi disampaikan oleh johan Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 peringkat negeri Terengganu, Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh manakala ikrar perkhidmatan awam diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba, Sharifudin Ali.
Ceramah integriti disampaikan oleh Penolong Pegawai Integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Sukri Ali. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail dan ketua-ketua jabatan persekutuan di negeri ini.