
Laporan/foto: Noraidah binti Mat Seh (Jasin)
JASIN, 3 Sep (Malaysiaaktif) – Semangat perpaduan semua kaum telah menjayakan Program Sambutan Ambang Merdeka telah berlangsung di Balai Raya Taman Kesang Damai, Bemban baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kesang Luar, Brakasam S.N Kaliapan, kegembiraan dan kemeriahan terhadap sambutan yang ditonjolkan oleh masyarakat setempat dari pelbagai kaum dan bangsa dengan kehadiran mereka dalam menjayakan program pada hari ini dalam suasana harmoni dan kedamaian.
Menurut Brakasam, keharmonian dan kesepakatan yang ditunjukkan ini turut memperlihatkan persamaan dan perpaduan kita sebagai rakyat Malaysia. Ini kerana walaupun terdapat pelbagai isu yang timbul, sebagai rakyat kita perlulah bersama-sama dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara dicapai dengan aman dan damai.
“Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memupuk dan mengekalkan kesedaran rakyat akan pengorbanan serta sumbangan golongan veteran angkatan tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memastikan keselamatan negara berada dalam keadaan baik,” ujar Brakasam.
Pesara tentera, Jamil Samsudin telah berkongsi pengalaman beliau semasa berkhidmat dalam pasukan tentera bermula umur 18 tahun dan berkhidmat dalam Rejimen ke-7 Askar Melayu Diraja.
“Semasa dalam perkhidmatan saya telah diarahkan bertempur di Grik, Perak bersama-sama dengan 21 anggota dan 3 daripadanya telah ditembak dan meninggal manakala seorang anggota terkena jerangkap samar.
“Sepanjang berkhidmat banyak pengalaman yang dilalui dan ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berbakti kepada negara dan juga menjaga keselamatan negara daripada pihak musuh,” ujar Jamil.
Dalam program ini seramai 30 orang golongan vateran keselamatan dirai antaranya anggota tentera, PDRM dan juga pesara polis.
Selain itu pelbagai acara telah diadakan dalam program sambutan Ambang Merdeka ini antaranya pertandingan bola sepak bersama veteran dan belia, konvoi basikal merdeka pada siang hari manakala pada malamnya adalah perkongsian pengalaman oleh golongan veteran yang dirai serta tayangan Video Dugaan Negara serta Pejabat Penerangan Daerah Jasin telah membuka kaunter pameran pada hari tersebut.
Acara kemuncak program ini adalah penantian detik jam 12 dengan nyanyian lagu Negaraku dan kibaran Jalur Gemilang.
-KN