
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Leazmi Anak Leman (Port Dickson)
PORT DICKSON, 24 Sep (Malaysiaaktif) – “Kementerian Pelancongan (MOTAC) kini giat menganjurkan aktiviti memancing bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi memancing dalam kalangan pelancong.
“Penganjuran acara ini mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan bahkan pelancong luar negara.
Demikian menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik ketika merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Memancing Siri Ketujuh Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 di Pantai Cahaya Negeri, di sini semalam.
Tambah Bakhtiar, acara seperti ini juga dilihat mampu menjana ekonomi masyarakat setempat.
“Bukan sahaja peniaga di sekitar Port Dickson, malah pengusaha hotel dan homestay juga turut menerima kesan positif daripada program seperti ini,” katanya ketika ditemui.
Seramai lebih 1,800 peserta termasuk peserta dari Singapura telah menyertai pertandingan kali ini sekaligus mencatatkan penyertaan paling ramai dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM1.32 juta untuk dimenangi.
Gelaran juara pertandingan memancing telah dimenangi oleh Mohammad Almuhaimin Mustafa, 27 dari Muar dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM70 ribu.
Pertandingan memancing merupakan anjuran bersama Tourism Malaysia dengan Wakjali Event Management dan telah mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan serta agensi lain di bawah MOTAC.
Dalam pada itu, beberapa acara lain turut diadakan sepanjang program ini berlangsung seperti pertandingan mewarna, pertandingan Beyblade, sepak raga bulatan, permainan congkak dan zoo mini
Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia Zulkifly Md Said.
-AK