
Laporan/ foto: Pai Syahira Yahya/ SH. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Usaha memartabatkan tulisan Jawi terpamer dalam Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) apabila menggunakan tulisan Jawi sebagai penghantar utama.
Istiadat tersebut ternyata menarik perhatian ramai dengan menggunakan tulisan jawi sepenuhnya dalam semua bahan cetakan dan edaran sepanjang istiadat berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan KUIPSAS, langkah tersebut merupakan usaha berterusan kolej universiti tersebut selepas menjadi Pusat Rujukan Tulisan Jawi Negeri Pahang.
“Selain itu, usaha ini dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan mempertahankan tulisan jawi dalam kalangan anggota masyarakat,” ujar pihak pengurusan komunikasi KUIPSAS.
Dalam pada itu, institusi pengajian tinggi berteraskan Islam seperti KUIPSAS komited menaikkan semula maruah tulisan ini serta mendedahkan penggunaannya kepada orang ramai.
KUIPSAS juga nekad dalam pemerkasaan tulisan jawi dengan melahirkan pakar rujuk tulisan jawi dikenali sebagai Munsyi Dewan Jawi Negeri Pahang selain menganjurkan bengkel penulisan jawi kepada pihak berkuasa tempatan.
-KN