Laporan/ foto: Pai Syahira Yahya/ Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 KUIPSAS.
Istiadat pemasyhuran disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pro Canselor KUIPSAS berlangsung penuh bersejarah di Dewan Jubli Perak turut disaksikan lebih 1500 tetamu jemputan.
Tengku Hassanal dimasyhurkan sebagai Canselor KUIPSAS kedua, menggantikan nenda baginda, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan sejurus pengumuman tersebut, Wan Rosdy menyarungkan jubah sebagai Canselor KUIPSAS kepada Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai simbolik istiadat.
Tengku Hassanal Ibrahim dalam titah, baginda melahirkan rasa terharu dengan kepercayaan diberikan bagi menggalas tanggungjawab besar dan berjanji akan meneruskan hasrat serta kepimpinan Almarhum Paduka Ayahanda yang ingin melihat KUIPSAS terus berkembang ke arah melaksanakan peranannya sebagai pusat pendidikan berteraskan Islam bagi rakyat Pahang.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama semua hadirin pada Majlis Konvokesyen KUIPSAS yang bersejarah ini dan saya difahamkan dalam usia 23 tahun, KUIPSAS berjaya melahirkan lebih 5,000 orang graduan,” titah baginda.
Baginda juga berharap agar KUIPSAS terus melahirkan graduan dan ilmuan yang holistik yang berupaya menyumbang kepada masyarakat di samping menjadi graduan berminda dan pemikiran inovatif.
“Graduan yang ingin berjaya menghadapi cabaran dan persaingan di masa hadapan perlu memastikan jati diri diperkukuh dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan tuntutan semasa seperti kemahiran berkomunikasi, daya kepimpinan tinggi, bidang keusahawanan, dan kemahiran teknologi maklumat.”
Selain itu, Tengku Mahkota Pahang juga bertitah agar siswa dan siswi mempunyai aqidah mantap, jati diri, berakhlak mulia dan sedia berkorban demi kepentingan ummah.
Istiadat konvokesyen tersebut melibatkan seramai 358 graduan menerima diploma pengajian 17 buah program daripada empat buah fakulti.
Sejak KUIPSAS ditubuhkan 23 tahun lalu, seramai 5328 graduan telah dilahirkan.
-KN