
Laporan/foto:Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KUDAT, 13 Sept (Malaysiaaktif) – Ekspresi wajahnya bersungguh-sungguh ketika menceritakan aspirasi mereka untuk menyiapkan jalur gemilang terbesar di Malaysia, bukan daripada kain ataupun bahan kitar semula seperti kebiasaannya, tetapi menggunakan manik yang dijahit dengan teliti satu persatu.
14 orang penggubah ini rata-ratanya suri rumah, yang perlu bergelut dengan rutin harian menjaga keluarga dan meluangkan masa pada malamnya pula untuk menyiapkan jahitan manik mereka.
Namun semangat untuk menyumbang sesuatu kepada negara tidak menjadi halangan kerana mereka tidak kisah menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit demi menunjukkan rasa kasih dan setia kepada tanah air.
Apa sahajalah kudrat seorang wanita desa untuk menyatakan sayangnya mereka kepada negara, tidak mampu menghunus senjata hanya jari jemari dan bakat sahaja yang mereka mampu pertaruhkan.
Berhari-hari menyusun manik satu persatu, dimasukkan jarum pada 24 biji manik setiap baris di atas benang nilon pada acuan kayu khas, dijahit menggunakan empat lapis benang dengan teknik Piruruho supaya bentuknya kukuh dan tahan lama.
Penyelaras Gubahan Manik Boduvan, Hanna Porodong mengakui projek membuat bendera daripada manik ini merupakan impiannya yang sudah lama dipendam untuk direalisasikan.
“Bila saya sertai pasukan Jiran Wanita KRT Gumantung sebagai jawatankuasa induk pada Februari lalu, kami membincangkan aktiviti yang ingin dilakukan lantas saya mencadangkan untuk buat bendera.
“Ini kerana Kg Tinangol sudah diiktiraf oleh kerajaan tempatan sebagai penggubah manik sehingga dipasangkan sebuah papan tanda yang boleh dilihat dari jalan raya utama.
“Namun begitu walaupun diberikan papan tanda, tetapi tiada tanda atau bukti yang menyatakan kampung ini memang menggubah manik, jadi itu yang memberi semangat dan idea kepada saya untuk memulakan projek gubahan manik Boduvan ini.
“Mujur Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N4 Matunggong bersetuju untuk membantu dan sumbangan sebanyak RM3,000 segera diluluskan dan diserahkan dalam tempoh tiga bulan kemudian,” jelas Hanna.
Perkataan “Boduvan” berasal daripada bahasa Rungus yang bermaksud wanita yang mahir membuat pelbagai jenis kraftangan.
Menurut Hanna, sejak awal tahun 1950-an, golongan wanita etnik Rungus di kampung ini merupakan di antara penggubah manik yang terawal dan aktif di Negeri Sabah.
Katanya juga, dua teknik gubahan manik utama yang unik digunakan untuk membentuk pelbagai motif asli etnik Rungus iaitu teknik Somungon (dua benang dimasukkan dalam lubang manik secara bertentangan) dan teknik Piruruho (dua benang dimasukkan dalam lubang manik dari arah yang sama).
“Sasaran utama kami pada mulanya membuat bendera Malaysia dan Sabah dalam ukuran 3 x 6 kaki untuk dimasukkan dalam Malaysia Book of Record (MBOR).
“Tetapi bila saya hubungi pihak MBOR, mereka memaklumkan bahawa sudah ada negeri lain yang telah mencipta rekod untuk bendera manik ini dan ukurannya lebih besar setengah kaki daripada bendera manik yang telah kami siapkan.

Kerjasama yang padu antara mereka tanpa mengira masa, wang dan tenaga untuk menyiapkan jalur gemilang.
“Apa yang membuatkan saya kagum dan bangga dengan pasukan saya ini, mereka tidak berputus asa setelah mengetahui hal tersebut malahan bertekad untuk mula membuat bendera yang lebih besar daripada baki manik yang ada sedangkan semua usaha yang mereka lakukan ini sebenarnya tidak dibayar, mereka lakukan secara percuma sahaja.
“Jika manik habis digunakan, kami segera berkongsi duit untuk menambah manik yang diperlukan dan salah seorang daripada kami akan ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan bekalan manik,”ujarnya.

Kerjasama yang padu antara mereka tanpa mengira masa, wang dan tenaga untuk menyiapkan jalur gemilang.
Jahitan manik Jalur Gemilang ini dimulakan pada Ogos lalu sejurus selepas bendera kecil siap sepenuhnya dan dijangka dapat diselesaikan menjelang Hari Malaysia tahun ini dan kemudian mereka bercadang untuk menghubungi semula pihak MBOR untuk penilaian.
Walaupun kerja nampak mudah dengan hasil kerja bersama, tetapi membuat bendera daripada manik sebenarnya sangat mencabar, terutama sekali pada bahagian bulan dan bintang yang mempunyai lengkung dan bucu yang tajam.
Oleh yang demikian, mereka sepakat mengamanahkan tugas tersebut kepada ketua mereka iaitu Jelny Borukot, 55 yang sudah 50 tahun berpengalaman dalam bidang ini dan Jelny juga telah berjaya menyiapkan tugasannya dalam tempoh 2 minggu.
“Selepas semuanya sudah siap nanti, semua manik ini akan diikat di hujungnya sebelum di bakar dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan api itu membakar tali simpulan.
“Apa yang membanggakan, belum lagi bendera ini sempurna disiapkan, sudah ada badan-badan tertentu yang menawarkan harga yang agak lumayan untuk membelinya dengan syarat kami perlu membuat bendera Sabah juga dengan saiz yang sama.
“Projek ini juga sebagai satu promosi kerana selepas ini juga kami akan membuka tempahan kepada agensi kerajaan dan swasta yang berminat untuk membuat apa sahaja rekaan menggunakan manik sekali gus membantu ekonomi suri rumah di luar bandar,” kata Hanna mengakhiri perbualan.
Hanna bersama pasukannya ditemui pada Program Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kecil Matunggong yang dirasmikan oleh PPM N4 Matunggong, Barlus Mangabis, pada Khamis.
Dalam masa yang sama juga, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kudat turut di sambut dan disempurnakan Pembantu Menteri Perdagangan Dan Perindustrian Sabah, Chong Chin Bin @ Ben Chong Merangkap Adun N2 Tanjung Kapor.

Barlus(tengah) bersama ketua jabatan dan pemimpin masyarakat pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kecil Matunggong.
Dalam ucapannya, Ben berkata bahawa nikmat kemerdekaan sebenar sudah dicapai oleh rakyat.
“Walaupun ia bukan kemerdekaan yang mutlak, tetapi merupakan kebebasan penuh untuk mencorakkan masa depan negeri sendiri sudah semakin jelas kelihatan.
“Saya amat bertuah kerana mempunyai seorang Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempunyai kesabaran yang cukup tinggi dalam memperjuangkan dan mengembalikan martabat Sabah.
“Pemimpin-pemimpin kita dan Sarawak telah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan kembali hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63.
“Kita patut berbangga kerana 7 dari 21 permintaan tersebut sudah diluluskan. Saya amat optimistik, khabar gembira buat seluruh rakyat Sabah bakal diumumkan semasa Hari Malaysia nanti,”ujarnya.
Tambahnya, tiada istilah penat ataupun menyerah kalah kerana kerajaan persekutuan diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed juga amat berkompromi dengan rakyat Sabah.
“Namun, mungkin akan ada permintaan yang akan memberi impak besar terhadap ekonomi negara, akan ditolak.
“Saya pasti, pucuk pimpinan negeri tahu apa yang mereka lakukan. Tidak sekarang, lain masa pasti akan dapat kita lihat tuntutan itu direalisasikan sepenuhnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah, Sapdin Ibrahim.
ER